[TERKINI] Malaysia arah sekatan sementara terhadap Grok berkuat kuasa hari ini
![[TERKINI] Malaysia arah sekatan sementara terhadap Grok berkuat kuasa hari ini [TERKINI] Malaysia arah sekatan sementara terhadap Grok berkuat kuasa hari ini](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763437230_Grok.jpg)
MCMC berkata, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Ringkasan AI
- MCMC mengarahkan sekatan sementara akses ke platform kecerdasan buatan Grok di Malaysia disebabkan penyalahgunaan untuk kandungan lucah dan seksual eksplisit.
- Langkah itu diambil selepas X Corp. dan xAI LLC gagal mematuhi tuntutan perlindungan teknikal dan pengawasan kandungan yang sesuai dengan undang-undang Malaysia.
- Sekatan akses akan berterusan sehingga langkah perlindungan yang efektif dilaksanakan bagi mencegah kandungan yang merosakkan, terutamanya yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.
Menurut MCMC, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Jan lepas bagi menuntut antara lain pelaksanaan langkah perlindungan teknikal.
Tuntutan turut merangkumi penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 dan 9 Jan hanya memberikan tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut," menurut kenyataan itu.
Susulan itu, MCMC mendapati perkara ini tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.
"Sekatan ini dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
"Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
MCMC kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.
"Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


