MALAYSIA
MCPF sokong KKM teliti larangan penuh rokok elektronik

Ayub berkata MCPF bimbang sekiranya perkara itu tidak ditangani lebih awal, ia akan menyebabkan isu seperti penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kini telah merebak ke dalam penggunaan vape.
KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin dalam usaha melindungi kesihatan awam.
Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Sri Ayub Yaakob berkata langkah berkenaan penting bagi mencegah risiko jangka panjang kesihatan khususnya dalam kalangan golongan belia dan orang belum dewasa (OBD) yang kini semakin terdedah kepada produk berbahaya terbabit.
"MCPF menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata KKM sedang meneliti secara terperinci langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.Beliau dipetik berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.
Ayub berkata MCPF bimbang sekiranya perkara itu tidak ditangani lebih awal, ia akan menyebabkan isu seperti penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kini telah merebak ke dalam penggunaan vape.
Selain itu, beliau berkata MCPF turut mencadangkan KKM agar dapat memperketat kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
"Pemantauan berkala perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform dalam talian kepada golongan belia.
"MCPF turut menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau serta bertindak secara bersepadu dalam menghentikan pembekalan dan penjualan rokok seludup," katanya.
Ayub berkata MCPF turut mencadangkan kempen kesedaran berkenaan isu itu diperhebatkan menerusi pelbagai platform media sosial dan arus perdana selain tokoh belia, pempengaruh media sosial dan pengamal perubatan boleh memainkan peranan berkongsi fakta sebenar mengenai risiko vape.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami