Md Rayhan diusir dari Malaysia malam ini

Bernama
Ogos 21, 2020 15:36 MYT
Md Rayhan Kabir diiringi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA untuk diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. - BERNAMA
Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditemu bual dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" diusir ke negara asalnya malam ini.
Md Rayhan, 25, dibawa ke Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 9 malam oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Md Rayhan yang berbaju kemeja dan membawa sebuah beg sandang, sempat melambai dan menunjukkan isyarat tanda bagus kepada kumpulan media sebelum dibawa masuk ke kaunter imigresen.
Difahamkan dia akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Dhaka, Bangladesh pada 11 malam.
Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai, selepas JIM memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.
BACA: Dokumentari Al Jazeera: Md Rayhan mohon maaf kepada rakyat Malaysia, pihak berkuasa
BACA: Dokumentari Al Jazeera: Md Rayhan diusir selepas selesai siasatan - KP Imigresen
Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud sebelum ini memaklumkan Md Rayhan akan diusir ke negara asal selepas semua siasatan polis selesai selain pas lawatan kerjanya ditamat dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.
-- BERNAMA
#diusir #dokumentari Al Jazeera #Jabatan Imigresen Malaysia #KLIA #Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur #lockdown #locked up #Md Rayhan Kabir #warga Bangladesh