KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan serta Measat Global Berhad (MEASAT) atas kejayaan pelancaran satelit MEASAT-3d, pada Khamis.

Baginda turut menzahirkan sukacita dengan kejayaan ini kerana ia amat bermakna khususnya buat rakyat Malaysia apabila dapat menikmati Internet berkelajuan tinggi di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, ia juga selaras dengan inisiatif Kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha merapatkan jurang ketersambungan digital dan mewujudkan masyarakat inklusif digital tanpa meminggirkan mana-mana kelompok di negara ini.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar akses Internet yang stabil dan pantas, rakyat Malaysia akan memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-dagang dan pembelajaran digital," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.