KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) merancang mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam bidang francais untuk tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata sasaran itu sejajar dengan komitmen jitu kementerian dan Pernas dalam melaksanakan usaha bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

“Saya berharap agar Pernas akan terus komited membantu usahawan-usahawan kecil untuk mentransformasikan perniagaan mereka supaya mampu berdaya saing dengan jenama-jenama besar dan kemudian, dikembangkan ke peringkat global.

“Jika dahulu industri francais didominasi oleh sektor makanan dan minuman, kini sektor perniagaan industri francais merangkumi sektor kecantikan dan kesihatan, pakaian, perkhidmatan & penyelenggaraan, kedai serbaneka, pasar raya peruncitan termasuk pusat pembelajaran serta asuhan kanak-kanak.

“Saya yakin industri francais adalah salah satu instrumen untuk merangsang ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada program Business In Transformation (BIT) & Franchisor Engagement (BITFE) hari ini, lapor Bernama.

Program BIT atau Transformasi Perniagaan membantu peniaga kecil ke arah perniagaan francais, ia telah merangsang pertumbuhan model-model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Menurut Noh lagi, melalui program BIT, peniaga-peniaga kecil akan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan mereka daripada segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.

Lima jenama telah berjaya mendapat lesen francais daripada pendaftar francais iaitu Putu Bambu World; D’Apple; House Of Mind Excellence (HOME); Otak-Otak; dan L’Pizz.

Ramai peniaga-peniaga kecil tersebut juga telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan saluran mereka. Antaranya ialah Putu Bambu World yang kini mempunyai 70 saluran berbanding 12 saluran sebelum menyertai BIT.

Beliau berkata MEDAC juga menyedari betapa pentingnya industri francais diperkukuhkan yang mana ianya merupakan salah satu sektor penting yang menjadi fokus MEDAC selain daripada sektor koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, termasuk mencatatkan peningkatan daripada segi nilai jualan syarikat-syarikat francais,” katanya.

Berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF), nilai jualan tahunan industri francais bagi 2018 dan 2019 menokok sebanyak 11.3 peratus daripada RM10 bilion kepada RM13.3 bilion.

Sebanyak 1,090 syarikat francais yang berdaftar dan daripada jumlah itu, sebanyak 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC Datuk Zamri Salleh; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Mohd Hilaluddin Abd Shukor.


*Berita asal di DagangNews.com