KUALA LUMPUR :Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama agensi di bawahnya, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan sumbangan hampir RM700,000 kepada pelajar dan mangsa banjir di sekitar Sarawak.

Menterinya, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbungan yang diberikan oleh pelbagai pihak amat dialu-alukan, lebih-lebih lagi bagi meringankan beban yang dihadapi golongan memerlukan akibat banjir dan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

"Saya menghargai inisiatif yang digerakkan oleh pihak Bank Rakyat dan SKM untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Usaha murni dijalankan syarikat korporat dan organisasi ini amat bermakna," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menerusi program gabungan kebajikan itu, SKM menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan berjumlah RM402,500 kepada golongan memerlukan di sekitar Sarawak.

Sumbangan itu dibahagikan mengikut beberapa kategori antaranya menerusi Program Bantuan Bencana Kecemasan Koperasi Khas disalurkan kepada dua Koperasi Sri Muara Kuching Bhd dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro Berhad.

Sumbangan barangan makanan turut diedarkan kepada 300 mangsa banjir selain disalurkan menerusi Program Peningkatan Koperasi membabitkan lima koperasi penerima antaranya Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bako Kuching Berhad dan Koperasi Sri Muara Kuching Berhad.

Program Peningkatan Koperasi adalah inisiatif diusahakan MEDAC dengan kerjasama Gerakan Koperasi, untuk memperluas potensi operasi perniagaan koperasi yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Bank Rakyat mendermakan barangan persekolahan bernilai RM112,000 kepada 700 pelajar kurang berkemampuan di sekitar Sarawak.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program "Kembali ke Sekolah" dengan peruntukan RM1 juta untuk membantu menyediakan peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam kepada 6,000 pelajar di seluruh negara.

Program itu turut mendapat kerjasama anak syarikatnya, Zakat Rakyat Holdings yang menyerahkan RM21,500 dan RM154,350 daripada hasil pungutan zakat dan masing-masing disalurkan kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di kawasan Parlimen Santubong, Sarawak.

Dr Wan Junaidi turut memberitahu bahawa kumpulan B40, termasuk perusahaan mikro dan tidak rasmi, paling terkesan akibat pandemic COVID-19 memandangkan kebanyakan daripada mereka memperoleh pendapatan secara harian.

"Mereka juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi serta kedudukan kewangan kukuh dalam mendepani tempoh yang sukar ini.

"Untuk kumpulan ini, bekerja dari rumah bukanlah pilihan. Mata pencarian mereka terjejas teruk berikutan pengumuman PKP.

"Saya harap semua pihak memandang serius dalam soal ini dan memainkan peranan dalam mencegah penyebaran wabak ini dengan mematuhi SOP," jelasnya.