BUTTERWORTH: Industri media perlu terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi, namun pada masa yang sama perlu mengekalkan peranannya sebagai sumber maklumat yang sahih dan dipercayai masyarakat.
Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin berkata, perkembangan teknologi merupakan satu keperluan yang tidak boleh diketepikan oleh organisasi media.
"Kita harus dan wajib berkembang seiring dengan teknologi tetapi dalam masa yang sama, kita perlu sentiasa dilihat melaporkan perkara yang benar, dan berita yang benar itu datang dari kita.
"Sebab masyarakat perlu memahami bahawa setiap laporan yang dikeluarkan oleh sesebuah organisasi media telah melalui proses-proses yang tertentu dan setiap laporan itu dipastikan ada kebenarannya, kesahihannya," kata beliau.
Beliau ditemui pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini pada pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berharap industri media dapat terus berkembang bagi membuka lebih banyak peluang kepada graduan yang berminat untuk menceburi bidang kewartawanan dan media.
Beliau turut mengharapkan kerjasama yang lebih baik antara organisasi media serta sokongan kerajaan bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang dan maju pada masa hadapan.
Zaiful antara lain berpandangan, kerajaan perlu terus memartabatkan Majlis Media Malaysia (MMM) kerana badan itu penting dalam membawa suara media secara keseluruhan.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap jasa dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Dianjurkan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana, HAWANA menjadi platform utama untuk menghargai dedikasi, profesionalisme dan peranan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih, serta berwibawa kepada masyarakat.