Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata media sosial boleh merosakkan akhlak terutama kepada anak-anak muda kerana menyebarkan sesuatu berita tanpa etika dan adab.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata apa yang menyedihkan terdapat sebilangan kecil rakyat terutama golongan muda tanpa segan silu menyebarkan fitnah.

"10 isu teratas di seluruh dunia mengenai media sosial ialah berkaitan dengan 'misinformation' (maklumat yang salah). Ini bermakna media sosial telah disalah gunakan sebagai ruang untuk menyebarkan fitnah, hasutan, benci-membenci serta menyemarakkan api perkauman.

"Lebih membimbangkan, ledakan kepesatan teknologi digunakan dengan berleluasa bukan untuk tujuan kebaikan, tetapi sebaliknya dijadikan senjata untuk memporak-perandakan negara serta menimbulkan kekacauan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 'Sehati Kita Sejiwa' dan Penutupan Rasmi Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2015 di sini, malam ini.

Mengenai program itu, Rosmah berkata walaupun temasya berkenaan merupakan kejohanan sukan, ia juga meliputi aspek intelektual sebagai santapan minda.

Beliau berkata program itu dimulakan dengan penganjuran Forum Media Sosial: Manfaat atau Mudarat, yang mana peserta telah didedahkan dengan baik dan buruk penggunaan media sosial serta impaknya kepada masyarakat.

Katanya penganjuran program tahunan itu berjaya mencapai matlamatnya terutama membentuk persefahaman serta memupuk semangat kemesraan dalam kalangan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya sepanjang kejohanan ini berlangsung, ia bukan sahaja berlaku dalam suasana kesukanan, malah dipenuhi dengan semangat kekeluargaan serta keharmonian dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional, Alhamdulillah.

"Semangat sedemikian amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan 2015 iaitu Sehati Sejiwa," katanya.

Rosmah juga menyeru kepada anggota badan-badan amal yang masih muda dan bertenaga agar menyertai acara-acara sukan PTIWRBNM pada tahun depan.

"Bukan kerana apa, tetapi puan-puan sekalian lah pewaris serta pelapis bagi memastikan kesinambungan kejohanan ini pada masa depan.

"Saya turut berharap agar temasya ini menjadi inspirasi kepada peserta yang lebih muda untuk menjadikan sukan sebagai satu gaya hidup harian," katanya.

Beliau juga berkata temasya PTIWRBNM 2016 akan diadakan di Kedah.