NATIONAL
Media sosial mendominasi, etika kewartawanan terpinggir?

Kebebasan maklumat yang dahulunya dimonopoli oleh organisasi media arus perdana kini telah beralih ke tangan masyarakat umum melalui pelbagai platform media sosial. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketika dunia melangkah lebih jauh ke dalam era digital dan teknologi pintar, persoalan mengenai kebebasan media semakin mencetuskan perdebatan bukan sahaja dalam kalangan pengamal media, malah melibatkan rakyat umum.
Ringkasan AI
- Perubahan dalam Pengaliran Maklumat: Kebebasan maklumat yang dahulunya dimonopoli oleh media arus perdana kini beralih ke masyarakat umum melalui platform media sosial, mengurangkan peranan tradisional bilik berita sebagai penapis maklumat.
- Krisis Kepercayaan: Ketua Editor Media Selangor, Fathi Aris Omar, menyatakan bahawa masyarakat kini bukan sekadar meragui media lama tetapi terlalu cepat mempercayai sumber tidak sahih tanpa penilaian yang teliti.
- Adaptasi Media & Cabaran Teknologi: Media kini menghadapi tekanan kewangan kerana pendapatan iklan berkurang akibat persaingan dengan platform digital besar. Selain itu, mereka perlu beradaptasi dengan format baharu seperti infografik, kewartawanan data, dan kecerdasan buatan (AI) untuk kekal relevan.
Dalam sebuah forum media yang dianjurkan oleh Gerakan Media Merdeka, Ketua Editor Media Selangor, Fathi Aris Omar menyatakan bahawa dunia kini tidak lagi berdepan dengan krisis kredibiliti media, tetapi krisis kepercayaan tanpa penilaian.
"Rakyat kini terlalu mudah percaya kepada sumber-sumber tidak sahih yang muncul di ruang media sosial, berbanding laporan rasmi daripada pihak berautoriti seperti polis atau agensi kerajaan.
“Masalah kita bukan lagi orang tidak percaya media lama, tetapi mereka terlalu cepat percaya kepada sumber yang lain tanpa menyemak, tanpa berfikir panjang,” katanya.
Fenomena ini turut disumbangkan oleh perubahan cara orang ramai mendapatkan maklumat kerana jika dahulu maklumat dikawal, disunting dan disebarkan oleh organisasi profesional, kini media berdepan dengan lambakan kandungan yang datang secara terus daripada pengguna iaitu ada yang bersifat mentah (raw footage) dan tidak disunting, tetapi dianggap lebih 'jujur' dan 'tiada agenda'.
Dalam masa yang sama, organisasi media juga terhimpit dengan isu kewangan apabila pendapatan iklan semakin berkurang akibat persaingan daripada platform digital besar seperti Facebook dan Google yang menawarkan harga lebih murah dan penonton lebih tersasar .
Perkembangan teknologi turut menuntut media beradaptasi dengan pelbagai format baharu dari infografik, laporan interaktif, kewartawanan data, hingga kecerdasan buatan (AI).
Namun, cabaran sebenar tetap sama iaitu bagaimana untuk membina semula kepercayaan masyarakat terhadap media yang beretika dan bertanggungjawab.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami