Banjir MTL dipengaruhi faktor daratan, bukan hujan semata-mata - MetMalaysia

Ambun menasihati masyarakat supaya sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir serta mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.
KUALA LUMPUR: Kejadian banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bukan bergantung pada jumlah hujan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi faktor daratan seperti perubahan guna tanah (land-use change), kepadatan penduduk dan keberkesanan sistem saliran setempat.
Ringkasan AI
- Faktor daratan seperti perubahan guna tanah, kepadatan penduduk, dan sistem saliran setempat turut mempengaruhi kejadian banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang.
- Pemanasan global mengakibatkan cuaca ekstrem yang lebih kerap dan intensif, dengan setiap satu darjah pemanasan global menyebabkan atmosfera menyimpan tujuh peratus lebih banyak kelembapan yang membawa kepada hujan lebih lebat, merujuk kepada Laporan Penilaian Keenam (AR6) Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC).
- MetMalaysia menjangkakan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang MTL 2025/2026, dan menasihati masyarakat untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca serta mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Beliau berkata faktor perubahan iklim dan pemanasan global turut memberikan tekanan kepada sistem cuaca sedia ada, menyebabkan cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap dan intensif berbanding sebelumnya.
"Cuaca ekstrem akan menjadi lebih kerap dan lebih intensif, kerana setiap satu darjah pemanasan global membolehkan atmosfera menyimpan tujuh peratus lebih banyak kelembapan yang membawa kepada hujan lebih lebat," katanya merujuk kepada Laporan Penilaian Keenam (AR6) Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC).
Ambun berkata pemanasan suhu air laut juga mendorong fenomena pemutihan terumbu karang, manakala pencairan ais di kutub dan glasier menyebabkan paras laut meningkat, sekali gus memberikan implikasi tambahan kepada negara pesisir seperti Malaysia.
"Kita lihat juga dari segi kekuatan dan peningkatan kekerapan taufan yang melanda Filipina dan Vietnam baru-baru ini. Itu juga kesan daripada pemanasan global dan juga perubahan iklim.
"Dalam satu minggu ada dua taufan, dan sekarang ini pun sedang terbentuk di luar perairan Filipina dan bergerak menuju Vietnam," katanya.
Beliau berkata MetMalaysia akan terus memperkukuh ketiga-tiga komponen sistem amaran awal, iaitu pengumpulan data, pemprosesan data dan penyebaran maklumat bagi memastikan kesiapsiagaan negara dapat dipertingkatkan serta tindakan awal dapat diambil sebelum hujan lebat melanda.
Ambun berkata amaran awal yang dihasilkan model cuaca paling dipercayai adalah dalam tempoh kira-kira tiga hari, namun maklumat akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa apabila perubahan atmosfera dikesan.
"Tiga hari sebelum kejadian ialah amaran yang paling boleh dipercayai, tetapi model boleh berubah dari hari ke hari. Seboleh-bolehnya, kami keluarkan maklumat awal supaya agensi lain mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan," katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir serta mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Saya berharap masyarakat di kawasan berisiko banjir sentiasa peka dengan amaran cuaca, patuh pada arahan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat palsu kerana tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa," katanya sambil menggalakkan orang ramai merujuk laman web rasmi MetMalaysia, media sosial serta aplikasi MyCuaca untuk maklumat yang sahih dan terkini.
Pada Oktober, MetMalaysia menjangkakan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang MTL 2025/2026, bermula dari awal November dan berterusan hingga Mac 2026.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

