MALAYSIA
Mekanik di Miri rugi RM79,000 akibat penipuan dalam talian

Polis berkata pada hari kejadian, iaitu 24 Julai kira-kira 12 tengah hari, mangsa menerima panggilan telefon kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis. - Foto hiasan
KUCHING: Seorang mekanik berusia lingkungan 30-an mengalami kerugian berjumlah RM79,000 akibat penipuan dalam talian di Miri pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pada hari kejadian, iaitu 24 Julai kira-kira 12 tengah hari, mangsa menerima panggilan telefon kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
"Panggilan itu kemudian dipindahkan kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Kuala Lumpur yang mendakwa mangsa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram.
"Mangsa diarahkan mengeluarkan wang daripada akaunnya dan memindahkannya ke akaun pihak ketiga bagi tujuan siasatan. Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas curiga terhadap permintaan suspek dan terus tampil membuat laporan polis pada 27 Julai," katanya dalam kenyataan hari ini.Mohd Farhan berkata dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 20-an mengalami kerugian sebanyak RM7,000 selepas ditipu dalam urusan pembelian kereta melalui iklan di laman sosial Facebook pada 26 Julai lepas.
Beliau berkata mangsa yang juga seorang mekanik telah tertarik dengan iklan jualan sebuah kereta terpakai model Toyota Harrier keluaran 2016 yang kononnya ditarik balik oleh pihak bank dan ditawarkan pada harga murah.
"Urusan diteruskan menerusi aplikasi WhatsApp bersama seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen Sabrina Motor Group di Bintulu.
"Mangsa diberikan satu pautan laman web palsu, iaitu https://sabrinamotorsgroup.com sebelum diminta membuat bayaran deposit serta bayaran penukaran nama pemilik kenderaan dan menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan dengan alasan yang tidak munasabah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami