MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan melakukan rombakan besar-besaran melibatkan semua agensinya dalam masa terdekat dalam usaha memastikan dasar dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan untuk memajukan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rombakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) itu dilakukan ekoran beberapa faktor antaranya budaya kerja lama seperti kerja bertangguh, tidak teliti serta kekurangan rasa termilik khususnya terhadap kerajaan negeri.

Beliau berkata selain itu, banyak perjanjian berat sebelah serta yang tidak melindungi kepentingan kerajaan negeri telah dimeterai sebelum ini yang akhirnya telah menjadi liabiliti kepada kerajaan negeri.

"Sepanjang kira-kira sembilan bulan menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri sejak 31 Mac tahun lepas, saya belum lagi melakukan sebarang rombakan atau perubahan yang melibatkan mana-mana ketua jabatan atau agensi kerajaan negeri.

Sepanjang tempoh itu, saya hanya membiarkan dan memerhati semua penjawat awam di Melaka bekerja mengikut cara masing-masing dan pada tahun ini, saya mahu mereka segera melakukan anjakan paradigma dengan mengubah cara berfikir, bertindak dan bekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2024 kepada penjawat awam di negeri itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata ketua jabatan dan agensi persekutuan di Melaka diminta berada di haluan yang sama dengan kerajaan negeri dan memberikan kerjasama sepenuhnya terutama melibatkan dasar-dasar semasa.

"Saya faham ketua jabatan dan agensi persekutuan terikat dengan KPI yang ditetapkan ibu pejabat, namun saya percaya ada ruang perbincangan supaya apa yang dirancang di peringkat negeri menepati kehendak pihak berkepentingan.

Saya juga berharap semua jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini dapat membawa mandat negeri ke peringkat Persekutuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata pencalonan Anugerah Seri Melaka (ASM) bagi mengiktiraf tokoh-tokoh anak Melaka yang memberi sumbangan besar di peringkat nasional atau antarabangsa, telah dibuka semalam.

Beliau berkata pencalonan itu boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang rasmi ASM iaitu https://www.asm-melaka.my/ sehingga 31 Mac depan.

"ASM dianugerahkan kepada anak kelahiran Melaka dan mendapat pendidikan awal di negeri ini dan calon merupakan ikon dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan awam, korporat, seni, budaya dan sukan.

Tokoh-tokoh ini nanti boleh bersama-sama kerajaan negeri menyumbang idea untuk pembangunan Melaka pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA