MELAKA: Kerajaan Melaka menerusi Institut Warisan Melaka (Inswa) akan menganjurkan Hari Kebaya selama tiga hari dua malam, sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024) pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran Hari Kebaya itu, bertujuan mengangkat seni kebaya yang sinonim dengan masyarakat peranakan iaitu Baba dan Nyonya, Chetti dan Portugis di negeri itu.

"Masyarakat Baba dan Nyonya, Chetti dan Portugis di Melaka, mempunyai keunikan pakaian kebaya tradisional masing-masing yang masih diperagakan sehingga hari ini.

"Pada penganjuran Hari Kebaya itu nanti, orang ramai diminta memakai pakaian kebaya bagi memeriahkan pelbagai pengisian yang akan dijalankan sepanjang tiga hari program berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata, Hari Kebaya berkenaan dianjurkan di bawah sub-sektor kebudayaan, selaras dengan usaha kerajaan negeri memartabatkan setiap kebudayaan yang ada dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

"Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan mendukung kepelbagaian inisiatif dan program melibatkan budaya dan warisan masyarakat peranakan di Melaka, bagi mengelak terhapusnya budaya dan warisan yang cukup bernilai daripada komuniti unik ini," katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga dilihat dapat membantu pengusaha kebaya meningkatkan jualan mereka, selain menggalakkan masyarakat Melaka berbilang kaum menghargai seni kebaya yang dihasilkan.

"Pelbagai aktiviti atau pengisian menarik turut dijalankan sepanjang tiga hari penganjuran Hari Kebaya itu, antaranya persembahan seni dan budaya, masakan dan gaya hidup masyarakat peranakan di Melaka," katanya.

Mengulas mengenai Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan IMT-GT 2023, beliau berkata, ia dianjurkan untuk memperkenal, memberi pendedahan dan menghidupkan semula seni warisan masyarakat peranakan, yang terdapat di tiga negara berkenaan kepada generasi muda hari ini.

Antara pengisian program termasuklah bengkel seni tari masyarakat peranakan, demonstrasi masakan kaum peranakan dan persembahan kebudayaan sepanjang tiga hari festival berkenaan. - BERNAMA