MELAKA: Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) akan dianjurkan pada skala lebih besar tahun depan, walaupun karnival itu merupakan acara dwitahunan kalendar pelancongan negeri.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penganjuran KUAM pada tahun hadapan bertujuan menarik lebih banyak pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) bagi mencapai sasaran 8.4 juta pelancong.

Beliau berkata pelbagai penambahbaikan juga akan dilakukan pada tahun hadapan, antaranya penjualan tiket secara dalam talian bagi memudahkan pengunjung selain mengelak kesesakan di kaunter.

"Selain itu, kita juga menjangkakan akan menerima lebih banyak penyertaan daripada syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan pesawat mereka, berbanding 41 pesawat antaranya helikopter dan pesawat ringan yang lain pada KUAM 2023 ini.

"Kita juga merancang untuk menambah lebih banyak pertunjukan udara dengan aksi-aksi lebih menarik selain memberi lebih banyak peluang kepada pengunjung untuk menaiki helikopter bagi sesi 'joy ride' (bersiar) pada harga ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian KUAM 2023 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Abdul Razak berkata KUAM 2023 yang merupakan penganjuran kali kelapan itu, menerima jumlah pengunjung di luar jangkaan iaitu lebih 50,000 orang setakat 12 tengah hari semalam, berbanding sasaran 45,000 orang sepanjang tiga hari karnival yang berlangsung bermula Jumaat.

Beliau berkata antara pengisian KUAM 2023 ialah pameran pesawat, pertunjukan udara antaranya aerobatik dan payung terjun selain aktiviti paramotor, 'joy ride' dan taklimat kerjaya oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

-- BERNAMA