MELAKA: Kerajaan Melaka sedang melakukan kajian terperinci berkaitan cadangan pelarasan kadar tarif air bagi pengguna domestik di negeri itu sebelum permohonan tersebut dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kajian itu penting bagi memastikan pelarasan tarif air yang kali terakhir dibuat pada April 2011 itu tidak membebankan rakyat dan tidak merugikan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

"Tarif air ini akan diselaraskan seluruh negara, namun ia berdasarkan kemampuan dan hasil kepada negeri berkenaan. Justeru, kita sedang melihat dan mengkaji tentang jumlah hasil yang akan digunakan untuk menaikkan tarif air pada masa hadapan.

"Pastinya satu harga yang tidak membebankan rakyat akan dimaklumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Megasurf Pantai Puteri 2023 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 20224) di sini hari ini.

Beliau berkata pelarasan tarif air berkenaan penting bagi memastikan SAMB tidak menanggung kerugian selain dapat membekalkan air terawat kepada pengguna di negeri itu.

Menurut laman sesawang SAMB, bagi pengguna domestik atau meter individu di negeri itu, kadar tarif air ialah RM0.60 bagi penggunaan 20 meter padu pertama diikuti penggunaan 20 hingga 35 meter padu (RM0.90) dan penggunaan melebihi 35 meter padu (RM 1.45).

-- BERNAMA