MALAYSIA
Melaka laksana pemberian vaksin tambahan measles dan rubella bermula 4 Ogos

Ngwe (kanan) dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita (dua, kanan) memeriksa rokok dipercayai tiruan atau diseludup yang dijual pada harga di bawah RM12 pada Operasi Selamat Paru-Paru lewat malam tadi. --fotoBERNAMA
MELAKA: Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Kesihatan negeri akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Vaksin Measles-Rubella (MR SIA) selama 10 minggu bermula 4 Ogos ini, dalam usaha mengekang peningkatan kes demam campak di negeri itu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata vaksin Measles-Rubella tambahan itu akan diberikan secara percuma kepada semua bayi dan kanak-kanak berumur enam hingga 59 bulan, iaitu yang lahir pada 1 Ogos 2020 hingga 31 Jan tahun ini, tanpa mengira kewarganegaraan dengan anggaran sasaran lebih 46,000 orang.
Beliau berkata pemberian vaksin itu akan dijalankan di semua klinik kesihatan, klinik desa serta pusat kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara 'walk in', janji temu di klinik kesihatan terdekat atau menerusi Aplikasi MySejahtera serta di lokaliti terpilih secara 'outreach'.
"Sebanyak 38 kes Measles atau demam campak direkodkan di Melaka dengan kadar insiden 36.3 bagi setiap satu juta penduduk dalam tempoh minggu pertama hingga minggu ke-30 tahun berbanding 74 kes demam campak direkodkan sepanjang tahun lepas."Peningkatan wabak ini bukan sahaja berlaku di Melaka tetapi di seluruh negara sekali gus menyebabkan Malaysia gagal mencapai sasaran Eliminasi Measles yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang daripada 1 kes bagi setiap 1 juta penduduk dan tiada wabak dicatatkan dalam tahun semasa," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Selamat Paru-Paru yang dilaksanakan selaras dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.
Mengulas lanjut, Ngwe berkata peningkatan kes demam campak di Melaka disyaki berpunca daripada beberapa faktor antaranya wujud jurang imuniti dalam kalangan kumpulan tercicir imunisasi Measles-Rubella termasuk migran, selain mobiliti penduduk yang tinggi kerana Melaka merupakan destinasi pelancongan.
Beliau berkata untuk itu pemberian vaksin tambahan merupakan intervensi penting bagi menutup jurang imunisasi dalam mencegah wabak campak dan rubella terutamanya di kawasan liputan rendah agar populasi kanak-kanak mendapat imuniti menyeluruh tercapai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami