AYER KEROH: Penjawat awam khususnya ketua jabatan di Melaka diberi amaran untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum yang boleh memalukan kerajaan negeri, termasuk kepada media.
 
Semua kenyataan lebih-lebih lagi yang melibatkan dasar kerajaan negeri mesti mendapat kelulusan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri bagi mengelakkan sebarang salah faham dan perbalahan yang boleh menjejaskan imej negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, arahan itu juga sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi surat edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam di bawah Kelakuan Dan Tata Tertib 1993.
 

"Kena dapat kelulusan SUK terlebih dahulu di peringkat negeri Melaka,  mereka boleh hubungi terus, tak perlu surat sebagainya, dia boleh terus hubungi SUK. Kalau SUK lihat perkara itu boleh disiarkan atau diwar warkan, jadi kita akan bagi kebenaran," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pertadbiran Kerajaan Negeri dan pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2022 peringkat negeri Melaka di Seri Negeri di sini pada Jumaat.
 
Program berkenaan dirasmikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Negeri, Datuk Rahmad Mariman yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
 
Rahmad ketika membacakan teks ucapan Sulaiman berkata, dalam menghadapi cabaran dunia digital hari ini, penjawat awam perlu lebih bijak dan sensitif sebelum mengeluarkan pernyataan awam kepada sebarang platform mahupun media bagi mengelakkan sebarang salah faham.
 
Semua pegawai awam terutamanya di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan telus dan profesional.
 
Ketua-ketua jabatan katanya, perlu memberi penekanan yang serius terhadap perkara itu serta perlu memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan.
 
Katanya, kesemua prinsip berkenaan adalah bertujuan untuk mempertahankan prinsip ‘neutrality’
dan ‘impartiality’ dalam perkhidmatan awam.