MELAKA: Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan negeri sedang memuktamadkan inisiatif yang akan ditawarkan kepada rakyat negeri ini dalam Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata justeru, semua ketua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan diminta memberikan input dan maklum balas berkaitan peruntukan masing-masing kepada Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan negeri selewat-lewatnya tiga minggu sebelum pembentangan dilakukan.

"Segala input atau maklum balas yang diperoleh daripada setiap agensi atau jabatan akan diguna pakai untuk kita menentukan berapa jumlah peruntukan atau perbelanjaan bagi pembangunan yang boleh kita belanjakan pada Bajet 2023," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata ketua jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan khususnya yang mempunyai hubungan secara langsung dengan orang ramai seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diminta menyelesaikan aduan rakyat tertunggak dalam kadar segera.

Katanya kelewatan atau kegagalan menyelesaikan aduan tersebut akan memberi persepsi negatif rakyat pada kerajaan negeri malah boleh dijadikan modal politik oleh pihak tertentu untuk menyalahkan pentadbiran kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sulaiman berkata revolusi pendigitalan dalam pengurusan perkhidmatan awam khususnya melibatkan aduan rakyat juga membolehkan setiap isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan lebih cepat dan berkesan.

"Kita kena memberi penjelasan yang sebaiknya bagi setiap aduan yang disalurkan... ada yang kita menunggu peruntukan, ada yang dalam kajian... ia bergantung pada jenis aduan yang disalurkan kepada PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran atau agensi berkaitan.

"Kalau perkara kecil dalam bajet sedia ada, elok diselesaikan segera. Apa maklumat yang kita ada berkaitan aduan yang disalurkan, mesti dimaklumkan kepada pengadu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap jentera pengurusan bencana di setiap peringkat terutama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bersiap siaga bagi memastikan bantuan kepada mangsa dapat diberi lebih awal dan pantas.

Katanya sokongan aset, sumber manusia serta kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu diberi perhatian agar tindak balas serta bantuan kepada mangsa dapat diberikan dengan lancar.

-- BERNAMA