AYER KEROH: Melaka akan menilai beberapa lokasi pelancongan terpilih yang selamat dan bersesuaian sebagai lokasi rintis sebelum membenarkan kedatangan pelancong domestik seawal-awalnya 1 Oktober ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata prosedur operasi standard (SOP) berkaitan itu juga sedang dirangka Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum dimuktamadkan.

“Mungkin tidak semua lokasi kita akan buka serentak  kerana bimbang akan berlaku penularan wabak COVID-19 yang mana kita perlu pastikan apabila kita buka (lokasi pelancongan) ianya boleh bertahan lama dan berterusan.

“Dalam persedian negeri beralih Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini, kita akan kenal pasti lokasi yang benar-benar selamat dahulu untuk kita buka dan kerajaan negeri juga akan memuktamadkan SOP khas yang sedang dirangka oleh MKN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu, selepas kejayaan pada fasa gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kerajaan pada Selasa bercadang untuk membuka tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini.

Selain Melaka, dua destinasi lain ialah Pulau Tioman dan Genting Highlands.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Parlimen.

Mengulas lanjut ujar Muhammad Jailani, beberapa elemen termasuk lokasi kawasan pelancongan dan kadar vaksinasi kakitangan sedang diambil kira sebelum membenarkan kedatangan pelancong.

“Sememangnya kita kena pastikan beberapa elemen, satunya semua pekerja dalam kawasan dipilih mesti telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 selain menyusun jadual sanitasi.

“Selepas itu barulah kita menunggu keputusan muktamad SOP daripada MKN lokasi mana yang sesuai dibuka dahulu,” tambahnya.

Dalam pada itu ujarnya, Melaka menerusi keupayaan gelembung pelancongan, bercadang untuk mewujudkan perkhidmatan ‘air ambulance’ bagi merancakkan sub sektor pelancongan kesihatan negeri itu.

‘Air ambulance’ itu bagi membolehkan pesawat membawa pesakit dari dalam mahupun luar negara.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya akan diputuskan selepas mesyuarat antara delegasinya bersama Konsulat Malaysia dan Wali Kota di Pekan Baru, Indonesia pada 26 September ini.