Kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi antara tempoh 2015 hingga 2019, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, Melayu mencatat sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan 80,625 kes bankrap, iaitu sebanyak 45,147 kes.

Ia diikuti kaum Cina sebanyak 26 peratus, India (11.3 peratus), dan lain-lain ( 6.7 peratus).

Liew berkata, statistik itu turut menyebut lelaki mencatat 69.7 peratus kes kebankrapan, manakala dari segi lingkungan umur, mereka yang berumur 25-34 tahun dan 45-54 tahun masing-masing mencatat peratus kebankrapan tertinggi iaitu sebanyak 25.3 peratus.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Willie Anak Mongin (PH - Puncak Borneo), yang ingin mengetahui jumlah rakyat Malaysia yang muflis antara 2015 hingga Ogos 2019.

Dalam pada itu, Liew berkata, kerajaan pada masa kini telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kes kebankrapan di Malaysia.

“Antara langkah dan strategi bagi membantu golongan ini ialah dengan memberi kesedaran serta kefahaman kepada individu itu sendiri, dan masyarakat tentang risiko atau kesan daripada perintah kebankrapan.

“Kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga telah mengadakan program kesedaran tentang isu muflis. Ia melibatkan perancangan kewangan kepada semua peringkat umur supaya dapat ditangani masalah pengurusan kewangan di peringkat pra kebankrapan,” katanya lagi.