KOTA BHARU: Pertandingan memancing mungkin sudah biasa dilihat, namun bagi penduduk Kampung Bukit Kechik, Melor, dekat sini mereka menganjurkan aktiviti itu secara tradisional menggunakan batang joran yang diperbuat daripada pelepah pokok salak dan sagu.

Penganjur pertandingan, Mohd Anuar Muhamad, 37, berkata aktiviti tersebut dilakukan selepas melihat wanita warga emas di kampung itu, Mas Kalsom Awang, 78, atau dikenali sebagai 'Makdo' bersemangat mengail ikan di tali air sawah di depan rumahnya selepas solat asar, sejak dua tahun lepas.

"Dari situ tercetus idea untuk saya dan penduduk bermuafakat mengadakan pertandingan ini melibatkan kategori Peserta Paling Banyak Dapat Ikan, Paling 'Sporting', Terawal Dapat Ikan dan Berpakaian Tradisional.

"Pertandingan julung kali diadakan baru-baru ini disertai 30 peserta daripada usia lapan hingga 78 tahun serta dihadiri 80 pengunjung iaitu penduduk setempat," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kechik Melor, di sini.

Faridah Jaapar menunjukkan ikan yang berjaya ditangkap pada pertandingan memancing secara tradisional di tali air sawah kampung Bukit Kechik. - Foto BERNAMA

Mohd Anuar berkata pertandingan memancing itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti memastikan peserta memakai pelitup muka dan menyediakan cecair pensanitasi tangan.

Seorang peserta Che Azizah Che Wel, 59, berkata aktiviti memancing tersebut bermula apabila sekumpulan wanita yang tinggal berdekatan tali air sawah keluar memancing sebagai hiburan di kampung.

"Sebelum ini, saya tinggal di bandar Kota Bharu. Apabila pulang semula ke kampung ini saya melihat penduduk mengail yang mengembalikan nostalgia kami zaman dahulu semasa mengikut datuk dan nenek memancing ikan baruh seperti haruan, keli, sepat dan puyu di tali air sawah padi.

"Semasa pertandingan diadakan orang kampung memakai pakaian tradisional, wanita berkain sarung dan memakai kelubung manakala lelaki berkain pelikat dan mengenakan semutar di kepala," katanya.

Che Azizah berkata selain batang joran, pemancing di situ juga turut menggunakan pelampung daripada sejenis batang pokok lalang dipanggil riong yang digunakan sebagai penanda sebaik ikan mematuk umpan.

"Pemancing perlu berjaga-jaga untuk mengangkat ikan sebaik terkena umpan. Teknik ini mengajar generasi muda tahu bahawa kaedah memancing secara tradisional banyak memberi manfaat.

"Pertandingan ini menguatkan hubungan penduduk, bukan soal berapa banyak ikan yang dapat tetapi kegembiraan semasa bersama-sama memancing," katanya.

Bagi pemancing muda, Azreen Ab Manaf, 27, dia akan pulang ke kampung mentuanya itu setiap hujung minggu dan seronok melihat komuniti di situ terutama kaum ibu memancing.

"Mereka bersemangat mencari umpan daripada perut ayam, cengkerik dan udang kecil secara bersepakat, malah semasa pertandingan saya langsung tidak menyangka kaum ibu ini rupa-rupanya mahir memancing sehingga ada yang mendapat lebih 10 ekor ikan dalam masa lebih sejam," katanya yang tinggal di Gong Kedak, Pasir Puteh.

-- BERNAMA