Alumni PLKN 3.0 diberi merit tambahan dalam permohonan pekerjaan sektor awam

Wan Mohd Faizal pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di sini hari ini. - Bernama
PEKAN: Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diberikan merit tambahan dalam proses permohonan pekerjaan dalam sektor awam.
Ringkasan AI
- Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan menerima merit tambahan dalam proses permohonan pekerjaan sektor awam, termasuk kuota khas 30 peratus bagi Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) dan lima markah kokurikulum oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
- Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan turut menyediakan keutamaan 30 peratus kuota temu duga, manakala Suruhanjaya Pasukan Polis menawarkan tambahan satu peratus merit dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia mempertimbangkan merit khas bagi pemilihan sebagai Perajurit Muda atau Pegawai Kadet.
- Inisiatif ini bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada alumni PLKN dan menarik minat generasi muda menyertai program tersebut. Seramai 419 pelatih menamatkan latihan Siri 3/2025, dengan Chang Xiang Zhao dinobatkan sebagai pelatih lelaki terbaik dan berhasrat menjadi guru kimia atau matematik.
"Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan turut menyediakan keutamaan 30 peratus kuota temu duga kepada alumni yang melepasi tapisan asas PSEE," katanya ketika ditemui pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) turut menawarkan tambahan satu peratus merit di peringkat temu duga kepada calon PLKN 3.0 yang memenuhi syarat asas pelantikan dalam Polis Diraja Malaysia, manakala Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MATM) pula mempertimbangkan merit khas kepada alumni bagi pemilihan sebagai Perajurit Muda atau Pegawai Kadet.
"Merit ini adalah inisiatif kerajaan yang digariskan untuk memberi ruang dan peluang kepada alumni PLKN mencari pekerjaan dalam sektor kerajaan selepas mereka tamat latihan selain menjadi platform untuk menarik minat orang ramai menyertai PLKN pada masa akan datang," katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 419 pelatih menamatkan latihan yang bermula pada 7 Sept lepas di kem berkenaan, selain menyaksikan Chang Xiang Zhao, 23, dinobatkan sebagai pelatih lelaki terbaik.
Chang yang meluahkan rasa terharu selepas menerima pengiktirafan itu menyifatkannya sebagai satu pencapaian yang sukar diperoleh.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua jurulatih yang bertungkus-lumus mengajar dan membantu kami membentuk jati diri yang baik," katanya.
Anak jati Ipoh, Perak itu berkata sebaik tamat program berkenaan, dia berhasrat menghadiri temu duga SPP bagi merealisasikan cita-citanya menjadi guru kimia atau matematik.
"Saya baru menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan dan menyertai program ini secara sukarela. Sementara menunggu temu duga itu, saya mungkin akan mencari pekerjaan sebagai guru MyStep atau tuisyen," katanya.
Sementara itu, Chang menasihatkan generasi muda supaya menyertai PLKN yang disifatkan penting dalam membentuk disiplin diri serta membantu peserta menetapkan matlamat hidup lebih tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami