KUALA LUMPUR : Falsafah dan peranan pendidikan di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu diubah dan diperluaskan jika mahu melihat lebih ramai pelajar-pelajar yang berkualiti dilahirkan di masa hadapan.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi dan Kebudayaan Universiti Nottingham Malaysia, Prof Zaharom Nain, pandangan dominan ketika ini yang menganggap bahawa IPT hanya sebagai gedung untuk menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi kehendak pasaran, memerlukan perubahan.

Malah jelasnya, falsafah pendidikan di peringkat tinggi perlulah lebih menyeluruh dan kritis serta perlu dipratikkan seluas-luasnya di setiap IPT.

“Pandangan atau falsafah alternatif ini ialah bahawa IPT adalah medan bertukar pendapat dan juga medan dimana pendapat-pendapat berbeza diketengahkan, dibahas, dikritis dan mengikut persekitaran yang perlu diubah atau diperbaiki.

“Ilmu bukanlah sesuatu yang statik.. ia dinamik dan kerap berubah dengan perjalanan masa dan perkembangan masyarakat. Ilmu adalah sebahagian daripada masyarakat dalam banyak perspektif,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI hari ini.

Pantau Kerajaan Baharu: Memartabatkan pendidikan tinggi negara, lebih berwibawa

Justeru katanya IPT tidak seharusnya dilihat sebagai satu platform pengakhiran kepada alam persekolahan semata-mata atau hanya gedung mendapatkan ijazah sahaja.

“Buat masa ini ramai ahli masyarakat dari ahli politik, kalangan ibu-bapa, pelajar sehinggalah masyarakat umum masih berpendapat IPT adalah gedung tersebut.

“Manakala ijazah yang diperolehi adalah hanya pasport untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya lagi.

Tambahnya, satu perkara penting yang turut perlu diberi penekanan dan fokus ialah memberikan kebebasan kepada IPT daripada sebarang bentuk atau tekanan mana-mana unsur politik termasuk daripada pemerintah.

“Keputusan dan juga kritikan terhadap ahli Lembaga IPTA oleh kerajaan baru-baru ini menunjukkan bahawa pengaruh politik telah lama berada dalam IPTA.

“Ini seharusnya tidak perlu, sehingga tuntutan perlu dibuat oleh IPTA supaya diberikan ruang autonomi supaya mereka tidak dikuasai oleh mana-mana pihak politik,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau berpendapat untuk mencapainya, undang-undang yang kelihatan menyekat kebebasan itu seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dimansuhkan.