MALAYSIA
Membaca asas pembangunan negara dan penyatuan bangsa - Saraswathy

Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi melawat reruai jualan buku sempena Pesta Buku Sarawak 2025 di pusat beli-belah Hills, hari ini. Turut hadir, Saraswathy. - Gambar Bernama
KUCHING: Amalan membaca perlu terus dipupuk sebagai budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda bagi membina minda kritis dan daya tahan intelektual, sekali gus membentuk masyarakat bersatu padu serta progresif.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy berkata buku menjadi alat penyatuan kerana melalui pembacaan seseorang dapat memahami sejarah, menyelami aspirasi masyarakat lain serta membina rasa hormat merentasi kaum dan budaya.
"Dalam suasana masyarakat majmuk seperti Malaysia, pembacaan berperanan besar dalam membuka minda dan membina persefahaman antara kaum.
"Pembacaan harus dilihat sebagai keperluan asas dalam penyatuan bangsa dan rakyat yang memacu pembangunan negara, setara dengan pembangunan infrastruktur dan ekonomi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Baca Perdana dan Pesta Buku Sarawak 2025 di The Hills di sini, hari ini.Program berkenaan yang berlangsung dari 27 Sept hingga 5 Okt dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca.
Beliau menegaskan dalam era digital yang dipenuhi limpahan maklumat, generasi muda yang rajin membaca lebih mampu menilai, menapis dan memahami isu dengan baik, sekali gus tidak mudah terperdaya dengan berita palsu atau retorik yang boleh menjejaskan perpaduan negara.
Menurutnya, pembacaan bukan sekadar amalan peribadi, sebaliknya satu pelaburan nasional yang menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat ilmu sebagai asas kemajuan negara.
Program yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu menampilkan pameran dan jualan buku, sesi interaktif bersama penulis, forum ilmiah serta demonstrasi seni dan kraf bagi menarik minat masyarakat pelbagai lapisan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami