SETIAP individu pasti pernah melalui saat yang sukar dalam hidup. Ada yang pernah mengalami penyakit yang serius, kehilangan kerja, kematian orang yang tersayang, kemalangan serta pelbagai jenis trauma.

Bagaimanakah kita menghadapi setiap situasi ini? Walaupun mengalami situasi yang sama, pasti akan ada reaksi emosi yang berbeza kerana ianya bergantung kepada daya ketahanan mental atau 'resilience' seseorang individu.

Dewasa ini, banyak keluhan didengari tentang generasi kini yang kurang daya tahan diri sehingga cenderung untuk bertindak balas secara emosi terhadap apa jua jenis tekanan.

Ada yang berkongsi di media sosial serta ada juga yang bertindak mencederakan diri sendiri apabila tertekan.


Mengapakah ini berlaku?

Ada pendapat mengatakan bahawa ia mungkin disebabkan oleh faktor di mana anak-anak kini membesar dalam suasana yang sentiasa dilindungi oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa sekarang sentiasa memastikan bahawa anak-anak mereka dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Contoh yang paling mudah ialah apabila anak-anak tertinggal buku atau kerja sekolah di rumah, maka ibu bapa akan bergegas menghantar buku tersebut ke sekolah.

Ini berbeza dengan ibu bapa dahulu di mana anak-anak belajar untuk menghadapi akibat daripada tindakan mereka yang tertinggal buku tersebut daripada guru.

Mereka terpaksa menerima denda atau hukuman daripada guru dan secara tidak langsung ia akan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab di kemudian hari.

Tetapi, apabila ibu bapa bertindak untuk sentiasa datang 'menyelamatkan' anak-anak daripada belajar melalui kesilapan mereka, maka mereka tidak berpeluang untuk belajar menghadapi kesusahan dan sukar membina daya tahan.


Mengapa kongsi di media sosial?

Ini mungkin kerana mereka mempunyai ramai pengikut atau 'follower' di media sosial berbanding keluarga yang rapat atau teman sebenar. Hakikat ini agak menyakitkan kerana teman di alam maya tidak dapat memberikan sokongan yang sepatutnya.

Malah, ramai rakan di media sosial ini yang bertindak mengecam atau menggalakkan individu tersebut melakukan tindakan yang tidak sewajarnya.


Apa itu daya ketahanan mental atau 'resilience'?

Daya ketahanan mental adalah satu proses yang membolehkan seseorang itu menyesuaikan diri ketika berhadapan dengan kesukaran, trauma atau tekanan.

Ia membolehkan kita 'bangun semula' selepas mengalami masa yang sukar. Ini adalah satu proses berterusan yang mengambil masa serta usaha oleh individu terbabit.

Mempunyai daya tahan yang baik bukan bermaksud sesorang itu tidak menghadapi tekanan langsung kerana ia adalah tindak balas normal terhadap masalah. Tetapi ia membantu kita menghadapi tekanan dengan baik tanpa menjejaskan fungsi individu tersebut dengan ketara.

Ia bukanlah berlaku secara semula jadi. Sebaliknya melibatkan perubahan tingkah laku, pemikiran serta tindakan yang boleh dipelajari oleh sesiapa pun melalui pengalaman atau pun pemerhatian.

Faktor penyumbang kepada daya ketahanan mengikut American Psychological Association; faktor yang menjadi penyumbang utama kepada daya tahan ialah mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan masyarakat.

Hubungan kekeluargaan yang berlandaskan kasih sayang, kepercayaan serta menjadi contoh yang baik kepada individu dapat meningkatkan daya tahan seseorang.

Untuk itu, adalah penting untuk mempunyai keluarga yang stabil serta sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak.

Ini kerana, ibu-bapa sering dijadikan contoh oleh anak-anak sebagai panduan dalam menghadapi apa jua masalah.


Faktor-faktor lain adalah :

1) Keyakinan serta pandangan positif terhadap keupayaan diri.

2) Kemahiran komunikasi dan pengendalian masalah.

3) Keupayaan untuk mengawal emosi .

4) Keupayaan untuk merancang secara realistik serta melaksanakan rancangan tersebut dengan baik.

Semua faktor yang disenaraikan di atas boleh dipelajari dan dibentuk.


Bagaimana untuk membina daya ketahanan yang kuat?


1) Penjagaan diri yang baik (self-care).

Sebenarnya, tiada siapa mampu menjaga diri kita sebaik diri kita sendiri. Ini kerana kita sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita dari segi kehendak, kekuatan serta kelemahan diri.

Ambil berat tentang emosi serta keperluan diri. Libatkan diri dalam aktiviti yang menyeronokkan serta merehatkan minda.

Kesihatan fizikal juga perlu dititik beratkan. Apabila kita berada dalam keadan yang baik, maka ia akan membantu kita untuk kuat ketika menghadapi kesukaran.

Ini paling ketara di kalangan wanita di mana mereka sentiasa mengutamakan suami, anak-anak dan kerjaya sehingga ada kalanya mengabaikan keperluan diri sendiri.


2) Belajar untuk melihat potensi diri serta positif.

Ramai antara kita yang fokus kepada kekurangan diri. Cuba kenal pasti serta senaraikan kekuatan atau kelebihan diri anda.

Jangan rasa malu. Memang nampak seperti 'masuk bakul, angkat sendiri', tetapi ini adalah 'bakul' anda dan tiada siapa yang akan angkat jika bukan anda sendiri yang mengangkatnya! Ini akan memupuk keyakinan dalam menyelesaikan masalah.


3) Sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki diri.

Kita sebenarnya belajar untuk menghadapi masalah dengan lebih baik melalui pengalaman. Kita bukan sahaja boleh belajar dari pengalaman sendiri, tetapi boleh juga belajar melalui pengalaman orang lain tentang bagaimana mereka melepasi saat-saat sukar dalam kehidupan.

Belajar untuk mengenali diri dengan lebih baik, memperbaiki hubungan dengan orang lain serta meningkatkan kekuatan rohani melalui kesukaran atau ujian yang dihadapi.


4) Tukar persepsi anda terhadap masalah.

Elakkan melihat krisis atau masalah sebagai satu perkara yang besar. Kita mungkin tidak boleh mengubah masalah tersebut tetapi kita boleh mengubah persepsi terhadap masalah.

Minda manusia ini sangat hebat di mana apa yang anda fikirkan, maka itulah yang anda akan rasakan. Maksudnya jika kita fikir yang masalah tersebut adalah besar dan tidak akan selesai, maka itulah yang akan dirasai.

Ubah persepsi anda. Lihat kepada sisi positif serta lihat apakah hikmahnya di sebalik sesuatu perkara.


5) Kenal pasti apa yang boleh diubah dan apa yang tidak.

Dalam kehidupan ini, ada perkara yang boleh diubah dan ada yang tidak.Terima hakikat tentang sesuatu perkara yang tidak boleh diubah dan fokus tentang apa perkara yang boleh diubah untuk menjadikan keadaan lebih baik.

Contohnya, mempunyai ketua yang garang bukanlah sesuatu yang boleh diubah, tetapi anda boleh ubah cara komunikasi anda dengan ketua anda.

Anda juga boleh cuba kenal pasti apa yang boleh menimbulkan kemarahannya, fokus pada kerja serta aktiviti positif serta kurangkan bertemu dengan ketua melainkan bila perlu.

Ingatkan diri anda tentang apa yang lebih penting dan fokus kepada perkara tersebut.


6) Letakkan matlamat dan beri penghargaan kepada diri sendiri.

Cuba senaraikan apa yang ingin anda capai secara realistik serta raikan setiap pencapaian anda walaupun kecil. Jika anda mengharapkan penghargaan daripada orang lain, maka anda mungkin akan kecewa.

Oleh itu, hargai setiap usaha yang anda lakukan dengan belanja diri sendiri dengan makanan istimewa atau hadiah bagi setiap kejayaan yang dicapai.


7) Ambil tindakan setelah menilai buruk dan baik.

Buat keputusan untuk bertindak daripada terus mengelakkan diri untuk berhadapan dengan masalah.

Mengelakkan diri tidak akan menyelesaikan masalah, malah menyebabkan tekanan yang berterusan.

Nilai setiap situasi secara pro dan kontra dan terus ambil tindakan. Elakkan membuat keputusan ketika dalam keadaan sedih atau marah kerana ketika ini otak kita tidak dapat berfikir dengan baik dan banyak berpihak kepada emosi.


8) Bina hubungan yang baik dengan semua orang.

Hubungan yang rapat dengan keluarga dan rakan-rakan adalah sangat penting. Bantuan serta sokongan emosi daripada mereka dapat membantu meningkatkan daya ketahanan anda.

Sistem sokongan yang baik amat membantu serta menjadikan anda berasa tidak keseorangan dalam menghadapi kesukaran.

Setiap individu mempunyai cara yang berbeza untuk membina daya tahan. Ia merupakan satu perjalanan hidup di mana kita belajar untuk menjadi lebih kuat melalui pengalaman.

Setiap pengalaman samada yang pahit atau manis akan mengajar kita tentang sesuatu serta bagaimana untuk mengendalikan masalah dengan lebih baik di kemudian hari.


* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI