HARI ini genap 63 tahun negara mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pertama. PRU yang berlangsung pada 19 Ogos 1959 merupakan PRU pertama di Persekutuan Tanah Melayu, dua tahun selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Lebih sejuta orang keluar mengundi untuk menentukan mandat membabitkan sebanyak 104 kerusi Dewan Rakyat. PRU seterusnya, kedua, berlangsung pada tahun 1964, iaitu yang pertama selepas Persekutuan Malaysia dibentuk, tetapi masih kekal dengan 104 dan belum ada pilihan raya bagi Sabah dan Sarawak ketika.

Sejak itu kita telah melalui 14 PRU. Hari ini kita mempunyai lebih 22 juta pengundi. Sistem pilihan raya berkembang, terus memperlihatkan kedinamikan. Yang jelas sudah tentu peningkatan bilangan pengundi dan pertambahan bahagian pilihan raya (kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri). Paling signifikan umur kelayakan untuk mengundi telah diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun – pembaharuan yang bakal mewarnai landskap PRU peringkat nasional buat julung kali.

Selepas PRU ke-14 (PRU14), pembaharuan-pembaharuan yang dibawa dalam urusan berkaitan dengan pilihan raya lebih menonjol. Pelaksanaan pindaan-pindaan signifikan mula disaksikan. Kesignifikanan lebih ketara berbanding pindaan-pindaan sebelum tahun 2018.

Lipatan sejarah menunjukkan negara telah melalui beberapa pindaan dan penggubalan undang-undang bagi memantapkan sistem dan undang-undang pilihan raya, terutama yang dibawa pada awal 1990-an dan 2002-2003, dan kemudiannya pada tahun 2013, iaitu dakwat kekal. Senarai pembaharuan itu terkandung dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

Meskipun terdapat sejumlah undang-undang yang diperkenalkan, tetapi undang-undang berkaitan antilompat parti dilihat sebagai ibu kepada segala pindaan kerangka perundangan berkaitan pilihan raya yang diharapkan. Ia membawa satu perubahan amat mendalam ke atas landskap pilihan raya.

Undang-undang mengekang lompat parti merupakan sebahagian daripada pakej kestabilan politik yang dijanjikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila dilantik sebagai perdana menteri kesembilan. Pada awal September 2021, beliau mengemukakan tujuh tawaran untuk mewujudkan landskap politik baharu bagi melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya, memperkasakan peranan institusi Parlimen. Ia disusuli dengan memorandum persefahaman bersama Pakatan Harapan (PH).

Tiga minggu selepas dilantik sebagai perdana menteri, beliau mengumumkan tawaran itu meliputi Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti dan pelaksanaan Undi18 serta pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun. Dua yang pertama telah dilaksanakan. Perkara ketiga dalam senarai tindakan beliau dan senarai itu telah ditambah dengan RUU pembiayaan politik. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Sementara usaha Ismail Sabri itu dihargai bagi memperkasakan sistem dan undang-undang pilihan raya, negara memerlukan satu penambahbaikan menyeluruh. Kita berada dalam persekitaran yang sesuai dan kondusif untuk membawa pembaharuan menyeluruh. Dua tahun lalu, pada 27 Ogos 2020, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah menyerahkan laporan akhir yang terdiri daripada 49 syor kepada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Laporan itu dilihat sebagai set syor pembaharuan yang menyeluruh dalam memenuhi prinsip universal pilihan raya. Peruntukan berkaitan dana politik turut disebutkan dalam laporan tersebut.

Ketika Ismail Sabri genap setahun menjadi perdana menteri, diiharap tempoh kepimpinan beliau akan meneruskan kesinambungan membawa pembaharuan dalam soal pengurusan pilihan raya yang diharapkan, sekali gus memberi wajahr baharu kepada sistem dan undang-undang pilihan raya.

Meskipun tidak kesemua syor boleh dan dapat dilaksanakan sekarang, sekurang-kurangnya komponen utama yang boleh dilaksanakan dengan segera atau ‘quick win’ boleh diperkenalkan. Langkah itu penting bagi menyediakan ruang, peluang dan kemudahan yang lebih membina kepada kesemua pemegang taruh terutama parti politik dan pengundi sertai pilihan raya dengan lebih menyeluruh dan aktif.

Sebelum 2018 gesaan pembaharuan dalam sistem dan undang-undang pilihan raya banyak dikemukakan oleh pembangkang, badan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan. Bagaimanapun kini pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan persekutuan secara bersendirian sehingga Mei 2018, kini turut mendesak keperluan itu. Mereka juga mahukan perundangan berkaitan sumbangan politik. Terbaharu, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, ketika berucap pada kongres sayap wanita itu, menggesa peruntukan 30% kerusi untuk wanita dijadikan sebagai syarat undang-undang bagi mana-mana parti politik yang ingin bertanding dalam PRU.

Perkara tersebut turut terkandung dalam laporan ERC. Oleh itu, mengambil kira pendirian dan kehendak kesemua parti, Ismail Sabri yang berada dalam kedudukan atau persekitaran yang kondusif, dengan sokongan parti-parti lain terutama Pakatan Harapan yang memeterai memorandum persefahaman pada tahun lalu, boleh menggunakan kelebihan sedia ada untuk meneruskan legasi pembaharuan sistem dan undang-undang pilihan raya sebelum PRU15.

Kita perlu dan wajar melakukan perkara-perkara yang akan membawa kebaikan kepada negara dan rakyat. Saya rasa ini antara masanya.


* Penulis ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.