SHAH ALAM: Seorang jurutera kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didenda RM13,622 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan kerja luar dalam negara, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Khuzairee Ibrahim, 41, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Anita turut menasihati tertuduh supaya mengambil pengajaran daripada kesalahan yang dilakukan.

"Kita anggap keputusan hari ini merupakan jalan (kehidupan) baharu untuk kamu. Harus ingat hanya kamu yang mengawal kehidupan kamu sendiri, bukan orang lain," kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mohammad Khuzairee membayar denda itu.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Khuzairee didakwa telah menggunakan beberapa dokumen sebagai tulen di dalam tuntutan kerja luar dalam negara di sebuah pejabat di Petaling Jaya, dekat sini pada 25 Jan dan 15 Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Nurainaa Izzati Mohd Shukor memohon mahkamah agar anak guamnya dikenakan denda yang minimum atas alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga selain telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi individu.

-- BERNAMA