PADA 4 Jun 2020, Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet mengkritik Malaysia dan negara-negara Asia-Pasifik yang lain kerana didakwa mengekang kebebasan bersuara dan mengetatkan tapisan berita sewaktu penularan wabak COVID-19.

Beliau membuat kenyataan berdasarkan tweet daripada seorang wartawan South China Morning Post (SCMP), Tashny Sukumaran, yang dia telah disiasat kerana menyalahgunakan kemudahan jaringan internet yang boleh mengancam keamanan di Malaysia.

Selain itu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB itu juga mendakwa bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sekurang-kurangnya 265 kertas siasatan mengenai penyebaran berita-berita palsu berkenaan pandemik COVID-19 di Malaysia.

Bachelet berhujah bahawa walaupun COVID-19 sedang mengganas, walau bagaimanapun adalah penting untuk membenarkan pengaliran maklumat bagi menggalakkan pemahaman dalam memerangi musuh tidak terlihat ini.

Hakikatnya, Bachelet perlu berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri apa yang berlaku.

Namun, sekiranya beliau sudah ke Kuala Lumpur, sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk hak asasi manusia, beliau seharusnya tinggal lebih lama di negara ini untuk berpeluang mengalami sendiri bagaimana kerajaan Malaysia mengekang penularan wabak Covid-19 daripada membuat kenyataan berat sebelah berdasarkan tweet oleh Tashny Sukumaran dan laporan-laporan yang diberikan kepada beliau.

Walaupun dahulu Malaysia adalah negara yang paling teruk terjejas dengan COVID-19, Malaysia kini mencatatkan lebih kurang 80 peratus kadar kesembuhan.

Malaysia juga mempunyai kadar ujian saringan tertinggi di Asia Tenggara, mengatasi Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand. Prestasi Malaysia adalah lebih baik daripada kebanyakan negara-negara dunia pertama yang bergelut dengan COVID-19 dan mencatatkan kadar kematian yang tinggi.

Kadar jangkitan harian dikalangan rakyat Malaysia di Malaysia kekal pada satu digit.

Individu bukan warganegara yang dijangkiti, sama ada mereka adalah pendatang dengan izin (PADI), atau pendatang tanpa izin (PATI) telah diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya, yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

PADI akan dibenarkan terus berada di Malaysia dan PATI akan dihantar pulang setelah mereka diuji negatif.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi oleh kerajaan menerusi pelbagai medium untuk memastikan rakyat tahu dan sedar mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam mendepani era ‘normal baharu’ ini.

Sidang media dijalankan setiap hari oleh Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah untuk menyampaikan kepada umum makluat terkini mengenai hal-hal keselamatan dan kesihatan terkait COVID-19.

Sidang media ini dihadiri oleh banyak wartawan dan mereka dibenarkan untuk bertanyakan soalan tanpa banyak halangan. Ini menunjukkan terdapat pengaliran maklumat yang berterusan daripada kerajaan ke rakyat saban hari.

Sekiranya berita palsu disebarkan kepada umum, kenapa perlu pihak berkuasa berdiam diri. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihak berkuasa mesti meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan dengan mengambil tindakan terhadap penyebar maklumat dan berita palsu.

Sekiranya para wartawan melakukan tugas dengan baik dan bertanggungjawab, sudah pasti mereka tidak akan menerima nasib yang sama seperti wartawan SCMP, Tashny Sukumaran.

Bachelet, wakil PBB pun perlu adil dalam memberikan komentar dengan melihat sesuatu perkara secara holistik dan bukannya menerusi maklumat yang diberikan sepihak. Semua perkara pun ada hadnya termasuk kebebasan bersuara.



* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.