"Ketika itu saya berumur 20 tahun. Saya melanjutkan pelajaran bidang Sains Komputer di University of Missouri, Kansas City, Amerika Syarikat (AS). Pak Lah (Allahyarham Tun Abdullah) menghantar saya ke AS dan menitipkan motivasi supaya saya belajar rajin-rajin dan menjadi insan yang bermanfaat.
"Kebetulan, bapa Allahyarham dengan bapa saya berkawan baik. Mereka satu kampung di Kepala Batas. Bapa saya seangkatan dengan bapa Allahyarham. Banyak kenangan dan hubungan kekeluargaan mengikat kami sekeluarga.
"Kerana itu, Allahyarham Tun Abdullah, yang ketika itu merupakan Menteri Pendidikan, turut sama menghantar saya ke AS semasa saya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di sana," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Mohamad Fauzan, paling diingatinya ialah pesanan yang dititipkan semasa Allahyarham menghantarnya di Lapangan Terbang Subang sebelum terbang ke AS.
"Saya masih muda ketika itu, tetapi apa yang dinasihatkan Allahyarham saya ingat sampai sekarang. Allahyarham mahu saya belajar dengan rajin dan menekankan supaya saya menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain.
"Pesanan itu saya bawa untuk mengemudi kehidupan dalam keluarga dan kerjaya sehingga hari ini," katanya.
Tambahnya, Tun Abdullah kerap bertanyakan kepada Allahyarham bapanya mengenai keadaannya semasa di AS dan perkembangannya selepas tamat pengajian di negara berkenaan.
"Apa khabar anak Pak Din (panggilan kepada Allahyarham bapa saya) di Amerika Syarikat."? Begitu Allahyarham akan tanya Allahyarham bapa saya mengenai keadaan saya, sebelum menyambung: "Harap beliau menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain selepas kembali berkhidmat kepada negara".
Bapa Mohamad Fauzan, Noordin meninggal dunia pada 2001 pada usia 82 tahun.

Menurut Mohamad Fauzan, Tun Abdullah merupakan antara pemimpin negara yang disanjunginya disebabkan banyak kebaikan yang diberikan beliau kepada keluarganya semasa hayatnya.
Katanya, kerana kebaikan-kebaikan itu juga, beliau masih ingat pesanan Allahyarham bapanya kepada beliau.
"Allahyarham bapa saya ada meminta supaya mengenang dengan hormat kebaikan orang lain kepada keluarga saya. Allahyarham bapa saya ada meminta saya untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah dan menyembahyangkan jenazahnya."
"Itulah yang saya lakukan hari ini, pada 15 April 2025 di Masjid Negara. Saya hadir sebagai individu yang menyempurnakan amanat Allahyarham bapa saya beberapa tahun lalu dan menghormati jasa serta banyak kebaikan yang diberikannya sebelum ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, disebabkan kekagumannya kepada Tun Abdullah, anak beliau yang lahir 36 tahun lepas, juga dinamakan sempena Perdana Menteri yang kelima itu.
"Anak saya, saya namakan Abdullah Anwar. Saya harap anak saya mengikuti peribadi yang dibawa Allahyarham, baik, berilmu dan banyak berjasa kepada semua.
"Inilah lambang sayang dan hormat saya kepada insan yang bernama Tun Abdullah, " ujar beliau.
