KUALA LUMPUR : Pembuat filem di negara ini diingatkan agar menghormati undang-undang yang terpakai terhadap karya yang dihasilkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mana-mana pihak yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan dan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi filem Mentega Terbang yang mengundang kemarahan banyak pihak.

"Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan pada hari ini sangat tegas dalam isu kepatuhan kepada undang-undang sedia ada.

"Saya ingin beri ingatan kepada semua walaupun kita nak jadi pembuat filem, kita masih ada undang-undang yang terpakai kepada apa-apa karya kita hasilkan, jadi kita perlu hormat undang-undang itu.

"Kalau berlaku pelanggaran, pihak berkuasa akan ambil tindakan. Memang saya pernah sebut ia (Mentega Terbang) disiapkan pada 2021, waktu itu saya bukan menteri, jadi saya tak mahu mengelak dan kita ambil tindakan sekarang," katanya semasa Town Hall Rakyat Sinar Harian Bersama Fahmi Fadzil pada Isnin.

BACA: Filem 'Mentega Terbang': Polis buka kertas siasatan

Ujarnya,Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil langkah untuk berhubung dengan pihak Viu dan filem itu telah diturunkan serta tidak lagi boleh ditonton oleh mana-mana pihak.

"Jadi, siasatan diteruskan dan sekiranya Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ada pelanggaran, maka tindakan boleh diambil," tambahnya lagi.  

Beliau juga berharap proses siasatan akan dapat diselesaikan segera dan memahami polis perlu mengambil keterangan pihak tertentu.

"Jadi kita kena pastikan proses itu berjalan. Jangan melakukan tindakan di luar batas undang-undang. Itu juga satu kesalahan. Jadi sabar, pihak berkuasa akan ambil tindakan," ujar beliau.
 
Pada Sabtu, PDRM telah membuka satu kertas siasatan terhadap filem kontroversi Mentega Terbang selepas menerima lapan laporan polis.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505 (b) KK dan Seksyen 233 AKMM 1998.

Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.