NATIONAL
Menteri Ekonomi ASEAN bimbang kemajuan perlahan berkaitan FTA ASEAN-India

Menteri-menteri ekonomi ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan yang perlahan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India, yang dianggap tidak bergerak secepat yang diharapkan. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kalangan menteri ekonomi ASEAN menyuarakan kebimbangan mengenai kemajuan yang perlahan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) blok ini dengan India, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Menteri-menteri ekonomi ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan yang perlahan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India, yang dianggap tidak bergerak secepat yang diharapkan.
- Perjanjian ini bermula dengan pemeteraian kerangka kerjasama pada 2003 dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) pada 2009, namun kemajuan terkini tidak diperincikan dalam mesyuarat AECC ke-25.
- ASEAN merupakan rakan dagang ketujuh terbesar India dengan jumlah perdagangan melebihi AS$130 bilion pada 2023, dan mesyuarat AECC turut membincangkan isu serantau lain menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur.
Perincian mengenai kemajuan yang perlahan itu tidak dimaklumkan.
Perjanjian Rangka Kerja ASEAN-India mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif telah dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-2 pada 2003 -- perjanjian rangka kerja itu menetapkan asas yang kukuh bagi pewujudan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-India, yang merangkumi barangan, perkhidmatan dan pelaburan.
Selepas itu, pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) disempurnakan pada 13 Ogos, 2009 di Bangkok dan mula berkuat kuasa pada 1 Jan, 2010.
ASEAN ialah rakan dagang ketujuh terbesar India dengan jumlah perdagangan melebihi US$130 bilion (US$1=RM4.23) pada 2023, merangkumi nilai eksport US$44 bilion manakala import pada US$87 bilion.
Mesyuarat AECC ke-25 yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Industri dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.
Wakil lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan; dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC.
Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami