KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melakukan tinjauan di beberapa buah universiti untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar yang terkandas.

Dalam ciapannya di Twitter, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata satu penyelarasan akan dibuat antara agensi agama di bawah kendaliannya.


“Kami akan membantu sehabis baik dan sekadar mampu atas kapasiti dan bidang kuasa yang ada.

“Saya yakin semua pihak sedang berusaha atas kapasiti masing-masing untuk meringankan beban siswa yang memerlukan bantuan.

“Dunia begitu kecil untuk kita bertelagah dan abaikan provokasi dan terus positif,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, minggu lepas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan lebih RM 2 juta untuk bayaran yuran pelajar B40 di enam buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Kami sedang menunggu baki lebihan daripada IPT untuk disalurkan kepada pelajar yang terkandas. Pada Sabtu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah mengedarkan boring permohonan dan menerima 3,000 permohonan untuk dinilai.

"Tabung Musa'adah COVID-19 yang dilancarkan hasil inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia untuk membantu terus dan akan terus disalurkan kepada universiti. 

Malah, bantuan makanan Ready To Eat (RTE) dan Foodbank oleh YaPEIM dan Program Jawi Food Bank juga sedia digerakkan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyediakan bantuan membantu para pelajar institusi pengajian tinggi di Wilayah Persekutuan yang terkandas dan memerlukan bantuan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pengguna Twitter Nasibah Daud mengenai sekiranya terdapat peruntukan bagi perjalanan pulang pelajar-pelajar bagi bulan Oktober dan sekiranya ada saluran yang boleh dirujuk pelajar.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.