KUALA LUMPUR :Menteri akan kembali menjawab soalan secara lisan namun masanya dipendekkan kepada 10 minit berbanding 30 minit yang diamalkan sebelum ini.

Usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan dan ia akan bermula pada Khamis, 19 November 2020 sehingga 15 Disember ini.

Usul itu kemudian dipersetujui dan diluluskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Tanpa menghiraukan usul terdahulu berkenaan sesi pertanyaan menteri pada 5 November lepas dan berdasarkan peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat 90(2) dan persetujuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, saya mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa peraturan mesyuarat 24(5A), 24A(5) dan 24A (7).

“Ini bagi membolehkan sesi pertanyaan menteri dipendekkan kepada 10 minit, iaitu ahli yang mengemukakan pertanyaan akan dipanggil membaca soalan dan jawapan akan diberi menteri, tanpa soalan tambahan mulai esok hingga 15 Disember,” katanya.

Pada 5 November lepas, Azhar Azizan memutuskan jawapan menteri untuk sesi itu akan diberi secara bertulis dan dimuat naik ke laman web Parlimen selepas persidangan Dewan Rakyat dipendekkan.

Begitupun, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie ChIng kemudian bangkit dan meminta supaya dewan membenarkan sekurang-kurangnya satu soalan tambahan ditanya.

“Kalau nak baca soalan di sini, lebih baik sekurang-kurangnya izinkan kita nak bangkitkan satu soalan tambahan.

“Kalau nak baca yang telah lama disediakan kakitangan kerajaan, saya rasa tak perlu kerana kita  sendiri boleh baca,” ujarnya.

Beliau kemudian meminta kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membenarkan satu soalan dan Azhar Azizan kemudian berkata tiada masalah untuk membenarkan permintaan itu.