KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menafikan bahawa beliau ada mengeluarkan kenyataan berkaitan hukuman oleh guru terhadap murid.

Menerusi perkongsian di media sosialnya, beliau turut menafikan jadual yang tular di media sosial berkait bentuk-bentuk hukuman yang dilarang.

"Saya kongsikan kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung laporan portal berita bertajuk 'Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid'.

"Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.

"KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang' dalam mana-mana dokumen rasmi KPM," katanya di media sosial beliau hari ini.

 
Sumber Facebook DrRadziJidin

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.

Menerusi satu kenyataan penafian yang dikeluarkan hari ini, KPM memaklumkan terdapat enam tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM.

i. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran;

iii. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;

iv. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;

v. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan

vi. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

"Sehubungan dengan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan di atas," memetik kenyataan itu.