KUALA LUMPUR:Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, kali terakhir Wang Yi yang juga Penasihat Negara kerajaan China mengunjungi negara ini ialah pada 2018.

Semasa lawatan kali ini, Hishammuddin dan Wang Yi akan membincangkan status vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh China, meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama selepas pandemik serta usaha pengukuhan hubungan dua hala sedia ada di antara kedua-dua negara.

"Mereka juga dijangka membincangan isu-isu semasa melibatkan kepentingan serantau dan global," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, lawatan akan berlangsung dengan pematuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta menurut prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

SOP itu termasuk ujian swab yang mesti dijalani tiga hari sebelum tiba di lapangan terbang negara ini serta ujian swab kedua dijalankan sejurus tiba di lapangan terbang.

Delegasi juga akan diiring dalam perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, ke tempat acara dan ke lapangan terbang semula untuk berlepas pulang, mengikuti itinerari yang terkawal selain hanya boleh menaiki pesawat persendirian.

Selain mengukuhkan hubungan dua hala, pertemuan kedua-dua menteri terbabit membantu memastikan Malaysia dan China bersedia menghadapi cabaran masa depan serta meneruskan kerjasama di sebalik penularan pandemik global. - BERNAMA