KUALA LUMPUR: Menteri Luar Palestin Riyad Al Malki menyampaikan penghargaan terhadap sokongan Malaysia yang berterusan bagi perjuangan rakyat Palestin.

Penghargaan Palestin itu disampaikan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengadakan pertemuan dengan Riyad di Kedutaan Palestin di The Hague, Belanda pada Rabu.

Pertemuan itu dikongsi Mohamad dan Wisma Putra dalam catatan di Facebook lewat Rabu malam.

"Kami bertukar pandangan dan berbincang berkenaan usaha untuk terus memberikan penekanan kepada masyarakat antarabangsa mengenai usaha menamatkan kekejaman dan genosid yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat di Palestin," katanya.

Menurut Mohamad, agenda mengenai penyelesaian isu Palestin melalui 'penyelesaian dua negara' dan penerimaan status negara Palestin yang berdaulat juga turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

Mohamad kini berada di The Hague untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Feb kira-kira 5.10 petang waktu tempatan (kira-kira 12.10 tengah malam, 23 Feb waktu Malaysia).

Permohonan untuk Pendapat Nasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang telah diterima pakai pada 30 Dis 2022, dengan Malaysia menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Pendapat Nasihat merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang difailkan di ICJ pada 29 Dis 2023.

Mohamad sebelum ini mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA