Hari lahir seorang suami disambut setiap tahun manakala hari jadi si isteri malah tarikh ulang tahun perkahwinan mereka tidak pernah dianggap sebagai penting dan tidak diraikan. Akibatnya, si isteri jadi tidak puas hati.

Adakah analogi ini boleh mencerminkan keadaan semasa dalam hal sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak?

“Itu gambaran realitinya,” kata penganalisis politik Sarawak Dr Jeniri Amir dalam satu temubual dengan Astro AWANI.

"Kemerdekaan 1957 yang diraikan oleh Semenanjung Malaysia itu ketika Sarawak belum membentuk Malaysia iaitu pada 1963. Yang kita raikan itu adalah untuk Tanah Melayu. Kita tidak menyambut kemerdekaan Sarawak yang sebenarnya 22 Julai."

Jeniri berkata rakyat dan pemimpin di Sarawak, untuk sekian lama, menuntut Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum.

“Sekian lama, permintaan itu diketepikan oleh pemimpin pusat mahupun pemimpin negeri dan hanya pada 2009 perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akhirnya mengumumkan mulai 2010, 16 September satu hari cuti umum,” katanya.

Tambah Jeniri, salah satu sebab Hari Malaysia menjadi penting adalah kerana perubahan landskap politik pada 2008.

“Disebabkan graviti politik sudah beralih ke Sabah dan Sarawak, ekoran daripada kekalahan teruk Barisan Nasional, termasuk Umno di Semenanjung maka mahu tidak mahu, mereka terpaksa mendengar suara, rintihan dan kehendak rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada tahun ini kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf secara rasmi 22 Julai sebagai hari pertama negeri itu mempunyai Ketua Menterinya sendiri, sekaligus dianggap sebagai 'Hari Kemerdekaan Sarawak’.

Tahun ini sambutan Hari Malaysia negeri itu bertemakan ’50 Tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia’.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya mengenai kepentingan tarikh-tarikh ini, Jeniri menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak harus terlalu obses atau memperincikan tarikh-tarikh ini.

"Saya fikir kita tidak harus terlalu memperincikan tarikh-tarikh ini. Sudah memadai untuk ada dua hari yang kita meraikan. Kalau kita cari tarikh lain lagi untuk diisytihar sebagai cuti umum kita sudah terlalu banyak cuti umum.”

Jeniri berkata apa yang penting ialah wujud kesedaran di kalangan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung selain memahami signifikan tanggal 16 September itu sendiri.

“Kerana tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan wujud pada hari ini. Ini harus diiktiraf sebagai hari penting dalam sejarah pembentukan bangsa Malaysia moden. Pada masa yang sama, 31 Ogos juga penting. Tidak boleh rakyat Sarawak mengasingkan diri daripada meraikan Hari Kemerdekaan 1957, tanpa tarikh penting itu, mungkin Malaysia tidak wujud.

Katannya lagi hakikatnya, kedua-dua tarikh itu sama-sama penting dan harus didukung oleh semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum dan negeri.

“(Kini) Seolah-olah Hari Malaysia hanya penting untuk Malaysia Timur dan tidak begitu penting untuk rakyat di Semenanjung."

Untuk itu beliau merasakan untuk mampu melangkah ke hadapan, segenap rakyat perlu membina sebuah negara bangsa, yang betul-betul utuh, bersatu padu dan mengarah kepada kesepaduan sosial serta integrasi nasional secara lebih holistik.