KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia menghantar pasukan penilaian kemanusiaan ke Nepal bagi menilai keperluan segera susulan kejadian banjir kilat dahsyat yang melanda sistem Sungai Bhote Koshi pada 26 Ogos lepas.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata pasukan berkenaan akan menilai keadaan di lapangan, berinteraksi dengan komuniti terjejas dan rakan kongsi tempatan serta mengenal pasti keperluan kemanusiaan paling mendesak.
“Skala bencana ini amat membimbangkan, khususnya bagi komuniti yang masih terputus hubungan dan keluarga yang masih mencari orang tersayang. Keutamaan segera kami adalah untuk memahami keperluan di lapangan dan memastikan bantuan kami sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bencana itu berlaku susulan runtuhan batu dan ais dari glasier di wilayah Himalaya, yang mencetuskan aliran deras air, lumpur dan bongkahan batu melalui Sungai Bhote Koshi serta sistem sungai di kawasan hilir.
Kemusnahan yang berlaku menjejaskan teruk komuniti serta infrastruktur kritikal di Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Chitwan dan daerah lain.
Menurut kenyataan itu, penilaian awal oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menganggarkan kira-kira 2.2 juta tan serpihan telah mendap di kawasan yang terjejas akibat banjir.
Banjir turut merosakkan infrastruktur tenaga tempatan, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 stesen jana kuasa hidroelektrik dan sebuah loji solar terpaksa menghentikan operasi, sekali gus menjejaskan kapasiti penjanaan kira-kira 431 megawatt (MW).
Pasukan kemanusiaan itu akan menjalankan penilaian awal yang memberi tumpuan kepada operasi mencari dan menyelamat, tempat perlindungan kecemasan, makanan, bekalan air bersih dan sanitasi, penjagaan kesihatan, perlindungan serta sokongan kesihatan mental dan psikososial.
Menurut kenyataan itu, jalan raya dan jambatan musnah atau terhalang akibat timbunan serpihan dalam jumlah yang besar, menyebabkan akses ke komuniti terjejas semakin sukar.
MERCY Malaysia memaklumkan pemulihan akses penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan, khususnya keluarga yang dipindahkan, kumpulan rentan serta keluarga yang mencari orang tersayang yang masih hilang.
“Tindakan kemanusiaan yang segera dapat membawa perubahan yang amat penting. MERCY Malaysia komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, rakan kongsi dan komuniti di Nepal bagi menyediakan bantuan yang bersesuaian serta menyokong usaha pemulihan apabila keadaan semakin berubah,” kata Ahmad Faizal.
-- BERNAMA