“JOY oren! Joy epal! Mangga dan jambu batu... tet tenet tetetet!”

Tak semena-mena iklan televisyen jenama air minuman kotak zaman 80-an itu kembali popular dan menjadi ‘zikir’ di bibir hampir setiap orang di Malaysia ketika ini.

Ya, hampir setiap orang. Ia menjadi satu fenomena, selepas ‘jingle’ iklan itu dinyanyikan oleh pelawak Ropie yang memegang watak Nayan dalam taruhan terbaharu pengarah tersohor Mamat Khalid, bertajuk Hantu Kak Limah (HKL).

Ropie memainkan peranan sebagai atendan atau dressar Klinik Desa Kampung Pisang dengan cukup menghiburkan. Hanya dengan kemunculannya dalam babak-babak filem itu pun sudah membuatkan penonton ketawa, bayangkan apabila dia membuka mulut. Bagai nak pecah panggung dibuatnya orang berdekah ketawa.

Ceritanya biasalah, abang Mamat. Naratif yang terus, tiada plot twist, mise-en-scène yang pelik, kesinambungan yang mengelirukan, penamat yang sukar difahami, tetapi itu bukan soalnya. Sepertimana yang dikatakan sendiri abang Mamat, dia hanya mahu membuat orang ketawa.

Ternyata ia tidak hanya menggeletek kelompok pengikut dan peminat filem-filemnya sahaja, tetapi kali ini ia sudah menular liar sehingga ke negara jiran Singapura dan Brunei.

18 hari tayangan sejak 9 Ogos tempoh hari, HKL sudah mengutip RM32.5 juta! “Oh my God!”

Beberapa sejarah baharu dunia perfileman tanah air dipecahkan, antaranya filem tempatan pertama yang mencecah kutipan RM20 juta, pada masa sama merampas gelaran filem Malaysia paling memecahkan panggung daripada filem Abang Long Fadil 2 yang mengutip RM19.04 juta daripada 28 hari tayangan.

Dikhabarkan ada yang berulang tonton di pawagam hampir tujuh kali. Malah daripada perkongsian di media sosial juga, kelihatan panggung masih penuh biarpun sudah lebih dua minggu ditayangkan. Memang luar biasa penangannya.

Apa sebenarnya yang mencetuskan sambutan gila rakyat Malaysia terhadap satu lagi karya abang Mamat ini? Selain daripada keberkesanan cara pemasaran mereka, ada unsur teras yang menggerakkan audiens sehingga membentuk fenomena ini.

Sebenarnya, kita semua sedang penat. Terlalu penat dengan kehidupan yang semakin hari semakin sibuk, penat dengan dunia yang semakin hari semakin laju.

2018 sememangnya tahun yang paling mencabar dalam sedekad kebelakangan ini buat kita seluruh rakyat Malaysia. Kemuncaknya bermula pada tarikh keramat 10 Mei, hari jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 60 tahun dan berdirinya Pakatan Harapan (PH) membawa harapan pembaharuan setiap lapisan rakyat.

Kita menyaksikan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selaku Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh untuk memimpin Malaysia Baharu. Serta barisan kabinet yang tidak lagi dipenuhi dengan Tan Sri dan Datuk Seri.

Bermula 10 Mei 2018

Melihat seorang yang berusia 93 tahun masih bekerja keras untuk membangunkan kembali negara, secara bawah sedar sebenarnya ia menggerakkan kita untuk turut sama membanting tulang demi negara, demi diri sendiri atau apa sahaja motifnya.

Segala aktiviti semakin rancak, pelabur kembali melihat Malaysia yang sekali lagi dipimpin tokoh yang disegani reputasinya selaku pemimpin yang pernah meneraju negara selama 22 tahun satu ketika dahulu.

Orang ramai sudah kembali mendengar, membaca dan menonton berita. Hampir setiap masa mereka memerhatikan gerak geri kerajaan untuk memastikan mandat dan harapan yang disandarkan mereka pada 9 Mei tempoh hari tidak disiakan apatah lagi dicabuli.

Sukar rakyat Malaysia untuk menghadam period surreal ini, sehingga otak mereka letih melayani episod susulannya.

Media tidak henti-henti melaporkan perkembangan terbaharu saban hari. Sektor swasta dan sektor awam terutamanya tidak menang tangan mengemas kini, memperhalusi dan memperbaharui cara kerja lama. Syarikat-syarikat pula berlumba-lumba merangka pelan dan tindakan segera untuk meningkatkan produktiviti dan mensasarkan peningkatan keuntungan, hari demi hari.

Kita juga sedang berada pada fasa pembukaan Revolusi Perindustrian Keempat yang dipacu hebat oleh keupayaan dunia tanpa sempadan yang membuka ruang yang cukup luas untuk diteroka dan dimanfaatkan sebaiknya. Justeru, ada sahaja pergerakan baharu setiap hari.

Akhirnya, setiap industri tidak dapat mengelak untuk turut sama ikut berlari. Dan larian itu saban hari semakin melaju sehingga kita semua tidak ada masa untuk berfikir tentang menikmati kehidupan yang seketika ini. Dalam kepala cuma kerja.

Malah saya percaya ramai antara kita yang tidak berasa ghairah seperti biasa untuk menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara yang ke-61 kerana hidup yang terlalu sibuk, (atau sudah raikan lebih awal pada awal pagi 10 Mei tempoh hari barangkali).

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, macam orang kehausan disuakan air sejuk, ibaratnya orang kerinduan diberikan ciuman, begitulah hadirnya HKL pada ketika suasana Malaysia dan dunia secara amnya yang semakin menggila.

Filem HKL hadir sebagai eskapism terindah kita semua rakyat Malaysia pada waktu yang sangat tepat.

Sendawa kita dengan sajian abang Mamat. Ibaratnya sajian nasi goreng kampung yang paling sedap dimasak dan disuap ke mulut orang yang kebuluran.

Di kala kita resah yang akhirnya lali meredah kesesakan jalan kota, kita merindukan kebahagiaan berada di kampung yang denainya lapang. Di saat kita serabut bertikam lidah dengan rakan sekerja yang tidak sependapat, kita mengenang saat gelak ketawa dengan teman sepermainan.

Tidak kisah perlu membayar sehingga lebih RM20, kita lari seketika dari realiti untuk kembali, atau menjejakkan kaki buat kali pertama ke Kampung Pisang yang disebut-sebut itu.

Eskapisme realisme

Kita sering mentertawakan filem-filem Hindustan dan Tamil yang terkenal dengan elemen-elemen yang tidak masuk akal. Satu adegan nyanyian lagu tetapi bertukar-tukar pakaian dan lokasi-lokasi yang indah sekelip mata lah, tiba-tiba yang mati hidup balik selepas nama diseru kekasih lah, dan macam-macam lagi yang jadi bahan ketawa kita.

Sekarang lihatlah ke cermin, kita pun apa kurangnya! Mukanya memang lain tapi rupanya sama. Nasib kita lebih baik mungkin kerana populasi kita tidak seramai mereka, yang menyebabkan sebahagian besar rakyatnya tidak tersentuh oleh banyak dasar kerajaan. Kita masih sekurang-kurangnya merasai nikmatnya.

Di sana, ada yang sampai bergolok bergadai bekerja siang ke malam semata-mata untuk ada cukup wang menonton wayang. Tak makan pun tak apa, janji tengok wayang dua bulan sekali. Sempurnalah hidup.

Kita bersyukur kita tidaklah sebegitu. Masih lagi boleh membeli kasut di Charles & Keith, tetapi mulut masih terkumat-kamit mengeluh duit tak cukup membeli beg Fossil kerana gaji kerajaan tidak banyak dinaikkan.

Namun di sebalik kepayahan hidup itu, ia menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar. Kegilaan rakyat terhadap filem menjadikan India negara industri perfileman terbesar di dunia. Lebih 1000 filem dihasilkan dalam lebih 27 bahasa di negara benua kecil itu puratanya setahun, dua kali ganda lebih banyak daripada Hollywood.

Memetik kata pengarah terhormat, U-Wei Haji Saari, suksesnya filem Hantu Kak Limah adalah bagus, menandakan kita ada dan semakin ramai, penonton filem tempatan. Ia telah membuka kembali pintu besar panggung mereka yang sekian lama rapat.

Apabila khalayaknya semakin besar, maka akan terbuka lebih luas ruang untuk menghasilkan lebih banyak kelas dan standard filem, bukan jenis escapisme semata-mata. Selain ingin lari seketika, kita juga perlu mengasah akal dan diri untuk lebih bijak menyantuni liku hidup sekembalinya ke realiti. Di ruang kita berteduh dari hujan lebat, di situ kita mengisi perut untuk tidak kelaparan ketika meredahnya.

Sebagaimana teater, filem adalah cerminan realiti masyarakat untuk mereka bermuhasabah diri dan kembali sedar tugas dan peranan kehadiran masing-masing ke kehidupan ini. Sepatutnya dijadikan satu medium untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik, untuk kenyang dan bahagia bersama. Bukan untuk poket sendiri.

Sepertimana Nayan sedia menumpangkan Kak Limah yang berdiri di tepi jalan di tengah dingin lewat malam, biarpun jelas dia lihat rambut Kak Limah menggerbang semacam Beyonce. Kerana mereka orang Kampung Pisang yang cukup harmoni dan erat, tiada prasangka dan jauh sekali takut antara satu sama mereka.

“Thank you, God!”





* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI