Skip to main content

Malaysia

'Mereka berdepan pelbagai serangan’ - Azam Baki sebak kenang sokongan keluarga

PUTRAJAYA, 12 Mei -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kelihatan sebak ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kelihatan sebak ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan pada hari terakhir perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Selepas enam tahun mengemudi SPRM, Azam menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarganya yang sentiasa menjadi penyokong kuat sepanjang beliau menerajui agensi berkenaan.

Menurut Azam, ahli keluarganya juga terpaksa berdepan pelbagai tekanan, serangan serta cabaran susulan dakwaan dan kritikan yang ditujukan terhadap beliau.

“Mereka berdepan dengan pelbagai serangan serta tekanan akibat serangan terhadap saya, yang menyebabkan mereka turut menghadapi pelbagai cabaran dan luka yang tidak sepatutnya mereka alami.

“Saya sering menasihatkan mereka supaya tidak terlalu gusar dengan apa yang berlaku kerana dunia ini bukan untuk dirungsingkan, tetapi untuk diuruskan. Kita hanya perlu menguruskannya dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, mereka dapat bertenang dan terus bersama-sama saya menghadapi semua ini,” katanya selepas Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Sementara itu, beliau dalam amanat terakhirnya berkata segala pencapaian dan kejayaan SPRM adalah hasil usaha kolektif seluruh warga agensi dan bukan bergantung kepada kepimpinan individu semata-mata.

Menurut Azam, semangat kebersamaan dan ‘esprit de corps’ yang tinggi dalam kalangan warga SPRM menjadi pemangkin utama kejayaan organisasi itu dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk perubahan landskap jenayah.

“Saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dalam mentadbir serta menguruskan organisasi ini. Sesungguhnya, segala kelemahan itu datangnya daripada diri saya sendiri,” katanya.

Azam yang telah lebih empat dekad berkhidmat dalam agensi tersebut turut menasihatkan warga SPRM agar meneroka penggunaan teknologi secara lebih mendalam dalam semua pelan tindakan agensi itu.

Menurutnya yang berusia 63 tahun, pengurusan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia selain mengoptimumkan kos operasi.

“Kita tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada permohonan penambahan pegawai jika kita tidak mengubah pendekatan dengan kaedah baharu yang lebih moden dan berkesan.

“Sehingga kini, pencapaian dalam bidang teknologi dan AI masih perlu diperkukuhkan lagi bagi memastikan SPRM kekal relevan dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.

Dalam ucapan sama, Azam berkata pengurusan SPRM mengambil pendirian yang jelas bahawa organisasi perlu kekal fokus kepada mandat utamanya.

Tegasnya, setiap usaha tidak boleh terganggu oleh gangguan politik atau tekanan publisiti negatif, di samping menegaskan  SPRM tidak boleh terperangkap dalam naratif jangka pendek, sebaliknya terus bergerak berlandaskan prinsip bukti, integriti dan keberhasilan.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya.

Sebelum ini, Azam, telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta dari 12 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.

Must Watch Video