awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Selangor tolak permohonan bina eskalator di Gua Batu Caves atas nama individu - Exco
Fasa pertama Banci Ekonomi 2026 fokus sektor informal, termasuk peniaga dalam talian - DOSM
Peranti eBraille memudahkan OKU penglihatan akses al-Quran, ilmu agama
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Mersing 'mini pantai timur' di selatan tanah air

Bernama
Bernama
19/08/2025
01:30 MYT
Mersing 'mini pantai timur' di selatan tanah air
Pulau Aur antara destinasi tumpuan pelancong untuk aktiviti menyelam dan ekopelancongan. - Foto BERNAMA
MERSING: Aroma nasi dagang yang dijual di tepi jalan, kepulan asap satar dibakar di atas bara serta deretan kedai keropok lekor, semuanya seakan membawa pengunjung ke negeri Pantai Timur di Kelantan dan Terengganu.
Namun, ini bukan di Kuala Terengganu atau Kota Bharu, sebaliknya di Mersing, Johor, sebuah daerah pesisir yang terletak kira-kira 136 kilometer dari Johor Bahru dan bersempadan dengan negeri Pahang di utara.
Ketua Kampung Seri Lalang Laut/Mersing Kanan Ahmad Farid Husin berkata penghijrahan besar-besaran masyarakat Pantai Timur ke Mersing bermula pada akhir 1960-an, apabila ramai nelayan dari Terengganu dan Kelantan datang secara bermusim untuk turun ke laut, akhirnya menetap di kawasan ini.
"Ayah saya sendiri datang dari Terengganu. Ramai nelayan waktu itu berhijrah ke sini, kahwin dengan orang tempatan, lalu membina keluarga. Sekarang, daripada kira-kira 200 keluarga di Kampung Seri Lalang Laut, 70 hingga 80 peratus ada darah Pantai Timur.
"Kalau sebut Mersing Kanan atau Kampung Tanjung, memang orang tahu banyak orang Terengganu dan Kelantan. Bahasa, makanan, suasana kampung, semua ada ciri Pantai Timur," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Tradisi Pantai Timur di sini bukan sekadar pada makanan, tetapi juga gaya hidup dan antara yang masih kekal, iaitu permainan dam soksek yang seakan dam haji, dimainkan di sebuah wakaf setiap petang oleh penduduk kampung selepas pulang dari laut.
"Dulu dimainkan semasa musim tengkujuh oleh nelayan yang tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan tapi sekarang menjadi permainan harian oleh masyarakat di sini pada sebelah petang waktu rehat selepas menangkap ikan," katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Mersing Mohd Sufian Ghazal berkata hampir separuh daripada keanggotaan persatuan terdiri nelayan asal Pantai Timur yang membawa bersama tradisi serta teknik menangkap ikan dari daerah mereka.
Antara kaedah yang menjadi warisan termasuk penggunaan pukat ceruk batu, iaitu kaedah menangkap ikan di kawasan berbatu berhampiran pulau, satu kaedah unik kerana nelayan tidak akan turun ke laut ketika bulan terang, sebaliknya memilih waktu bulan gelap dengan bantuan lampu atau rumah api bagi menarik ikan.
Rata-rata peniaga yang ditemui di sini menyatakan mereka meneruskan perniagaan tradisi keluarga, antaranya Aisyah Sakirah Ghazali, 34, yang menjual satar, makanan berasaskan ikan segar yang dibungkus daun pisang dan dibakar di atas bara.
"Setiap hari saya gunakan kira-kira 15 kilogram ikan untuk hasilkan lebih 3,000 biji satar. Paling tidak 350 biji habis terjual sehari. Resipi ini memang turun-temurun daripada keluarga sebelah ibu di Terengganu," katanya.
Sementara itu, Norizad Ramli, 43, mengusahakan kedai keropok lekor dan barangan kering berasaskan ikan sejak lebih 20 tahun.
"Saya warisi kedai arwah ayah. Mak ayah saya asalnya dari Terengganu. Sekarang saya masih ambil stok keropok dari Kelantan. Pelanggan pun banyak datang dari luar termasuk Singapura," katanya.
Seorang lagi peniaga, Abdul Halim Othman, 45, berbangga menjadi generasi ketiga keluarga Othman Puteh, antara perintis keropok lekor di Mersing.
"Arwah atuk saya, Puteh Mohamad, asal dari Besut, Terengganu. Dia mula berniaga keropok lekor lebih 40 tahun lepas. Sekarang saya sambung. Kalau nak rasa asli Pantai Timur, Mersinglah tempatnya," katanya.
Bagi pengunjung luar, keunikan Mersing paling mudah dirasai melalui makanan, misalnya Zulkifli Jali, 50, seorang penjawat awam yang menyatakan keropok lekor dan satar sudah menjadi 'oleh-oleh wajib' setiap kali singgah di Mersing untuk dibawa pulang kepada keluarga.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#mini pantai timur
#nelayan
#penghijrahan
#Kampung Seri Lalang Laut
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan