MALAYSIA
Mesin padi jatuh sungai: Bapa syukur jasad anak sulung ditemui

Masri bersyukur jasad anaknya, Muhammad Amsyar yang dikhuatiri lemas sejak petang Sabtu berjaya ditemui pada pagi Ahad. - Foto Sinar Harian
SANGLANG: Bapa kepada mangsa lemas, Masri Hassan, 43, bersyukur apabila jasad anaknya yang dikhuatiri lemas sejak petang Sabtu berjaya ditemui pada pagi Ahad.
Ringkasan AI
- Muhammad Amsyar Muqri, 18, ditemui mati lemas pada pagi Ahad selepas mesin padi yang dinaikinya bersama tiga rakan terjunam ke Sungai Kampung Sanglang.
- Bapa mangsa, Masri Hassan, menunggu di lokasi sejak kejadian dan mendedahkan arwah bercita-cita menjadi pegawai bomba serta baru melanjutkan pengajian di Politeknik.
- Polis mendapati insiden berlaku ketika pemandu menaikkan mesin padi yang kemudian terlajak ke sungai; tiga rakan mangsa selamat berenang ke tepi.
“Sejak jam 3 petang semalam (Sabtu) saya tunggu di sini. Malam tadi pun saya bersama ahli keluarga tetap menunggu, berharap ada keajaiban berlaku.
“Saya hanya pulang sekejap ke rumah untuk solat Subuh sebelum kembali semula bagi melihat operasi pencarian anak saya,” katanya.
Menurut Masri, mereka sekeluarga turut berkumpul membaca Yasin dan menunaikan solat hajat pada malam Sabtu agar pencarian anak sulung daripada dua beradik itu dipermudahkan.
“Arwah Amsyar menyimpan cita-cita untuk bergelar pegawai bomba, namun memilih meneruskan pengajian dalam bidang Diploma Perkhidmatan Bangunan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) selepas mendapat tawaran Julai lalu.
“Dia baru semester satu. Pagi semalam saya sempat jumpa dia, katanya mahu main futsal. Saya tak sangka rupanya dia ke sini,” luah Masri lagi.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas manakala tiga rakannya selamat selepas mesin padi yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.
Mayat Muhammad Amsyar Muqri Masri dijumpai pada jam 10.01 pagi Ahad kira-kira 10 meter dari lokasi awal kejadian, pada kedalaman empat meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang melakukan selaman di dasar sungai.
Berdasarkan siasatan polis mendapati, kemalangan itu berlaku semasa pemandu menaikkan jentera mesin padi namun jentera berkenaan telah terlajak dan menjunam ke dalam sungai.
Mangsa lain berjaya berenang ke tepi namun mangsa yang maut dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami