KUALA LUMPUR: Mesin pengimbas bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan ditambah baik bagi memerangi penyeludupan haiwan eksotik dan terancam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya giat bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan pemantauan.

Menurut Loke, pihaknya sedia maklum dakwaan ketirisan di pintu sempadan negara yang diambil kesempatan oleh sindiket penyeludupan haiwan.

"Kita sedar insiden ini (penyeludupan haiwan) dan MAHB sedang membuat penambahbaikan terhadap fasiliti termasuk mesin pengimbas .

"Memang kita mahu mesin pengimbas ini ditambah baik dan sudah mengarahkan MAHB memantau serta memperkukuh semula SOP berkaitan imbasan bagasi penumpang," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI di Stesen KL Sentral, pada Khamis.

Terdahulu, pada 7 Mac, petugas kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dilaporkan merampas empat ekor ungka kelabu Timur yang dibawa dua penumpang dari Kuala Lumpur, dua daripada haiwan itu ditemukan mati.

Haiwan diseludup lain yang ditemukan selamat adalah seekor lutong perak dan dua ekor polecat marmar.

Dalam pada itu, Kiosk Sentuhan MADANI yang dilancarkan Loke bakal menawarkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan dan swasta di kawasan tumpuan ramai seperti hub pengangkutan awam.

Sebelum ini, Kiosk Sentuhan MADANI pertama diaktifkan di Alamanda Putrajaya.