Skip to main content

Malaysia

Mesut Ozil hadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI

PUTRAJAYA, 26 April -- Bekas bintang bola sepak dunia Mesut Ozil (dua, kanan) turut hadir pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bekas bintang bola sepak dunia Mesut Ozil (dua, kanan) turut hadir pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada Ahad malam. - Bernama

PUTRAJAYA: Bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil muncul sebagai antara tetamu kehormat pada edisi ke-11 Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM), yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini malam ini.

Bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis”, forum itu menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku moderator bersama empat lagi ahli panel.

Advertisement

Forum berkenaan mengetengahkan panel penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun Necmeddin Bilal Erdogan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Pengarah Islamic Institute for Development and Research (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna serta Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Khairudin Aljunied.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ozil, yang juga bekas pemain bola sepak profesional Jerman dijangka berada di Malaysia hingga Khamis ini bagi menghadiri beberapa program termasuk Sidang Kemuncak Kepimpinan di Kuala Lumpur dan Klinik Bola Sepak bersama Mesut Ozil di Perak.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berkata forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu ialah satu inisiatif bermakna yang dirangka untuk menghimpunkan golongan berkepentingan, profesional, ahli akademik dan anggota Kabinet merentas sektor bagi sesi libat urus secara langsung dan terbuka dengan kepimpinan negara.

“Tanpa kekangan protokol, platform itu membolehkan dialog yang bermakna, terbuka, matang dan berorientasikan masa hadapan.

“Di sinilah kita menyaksikan penyatuan idea antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, golongan profesional dan ahli akademik yang bekerjasama secara kolektif bagi menangani isu nasional dan global yang mendesak, serta merangka dasar berlandaskan kebijaksanaan dan realiti,” katanya.

Zambry berkata topik perbincangan pada malam ini mencerminkan cabaran besar yang sedang dihadapi dunia Islam ketika ini.

“Sepertimana topik yang diketengahkan, kita tidak boleh mengabaikan kesukaran yang dihadapi dunia Islam hari ini. Dalam pelbagai dimensi yakni politik, ekonomi dan kemanusiaan, komuniti Islam terus berdepan cabaran yang amat getir. 

“Tragedi terbaharu yang berlaku di Iran menjadi peringatan pedih terhadap realiti sebenar, yang dunia kian berpecah, dengan sebahagian umat masih lemah, tidak bersatu dan sering terdedah kepada dominasi, penghinaan serta tekanan luar,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video