KUALA LUMPUR: Selepas kali terakhir bersidang pada bulan Disember 2020, Parlimen bakal membuka tirainya tahun ini dengan Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) esok (Isnin).

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, ia akan berlangsung selama lima hari di Dewan Rakyat (26, 27, 28, 29 Julai dan 2 Ogos) dan tiga hari di Dewan Negara (3, 4, 5 Ogos).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan sesi penerangan dengan menyentuh mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) diikuti Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan menerangkan tentang Tindakan Menangani Pandemik COVID-19.

Ia disusuli sesi penerangan mengenai Program Vaksinasi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pula akan memberi penerangan mengenai Pakej-pakej Bantuan Ekonomi yang telah dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lepas.

Sesi penerangan itu akan diakhiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan memperincikan mengenai Pelaksanaan Darurat.

Aturan Urusan Mesyuarat itu menyatakan bahawa setiap kali menteri-menteri selesai memberi penerangan, Ahli-ahli Dewan akan diberi peluang untuk bangkit dan meminta penjelasan mengenai isu-isu berkaitan dan menteri yang bertanggungjawab akan menjawab segala persoalan yang berbangkit.

Untuk rekod, sebanyak tiga Proklamasi Darurat serta 10 Ordinan Darurat akan dibentangkan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Difahamkan tiga risalat berkenaan pelaksanaan Proklamasi Darurat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Gerik dan Bugaya serta darurat di seluruh negara.

Antara Ordinan Darurat turut terjadual akan dibentangkan ialah - Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Pada 15 Julai lepas, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mesyuarat khas itu dijalankan di bawah Peraturan 11 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, sebelum Takwim Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama Penggal Keempat Belas bermula pada 6 September depan.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim pada 19 Julai pula dilaporkan berkata, Mesyuarat Khas Dewan Negara hanya akan menyentuh kepada urusan penerangan serta pembentangan Proklamasi Darurat dan tidak timbul mengenai isu usul di luar dugaan.

Pemerhati politik sebelum ini berpandangan blok Pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) akan cuba membangkitkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri serta isu keabsahan kerajaan Persekutuan masa kini.

Dalam satu surat yang bertarikh 23 Julai, Azhar dilaporkan memberitahu Anwar bahawa usul itu ditolak kerana telah dihantar dua hari lebih awal berbanding notis pemberitahuan mesyuarat khas tersebut kepada kesemua Ahli Parlimen, iaitu 15 Julai, 2010.

Selain itu, Azhar dilaporkan berkata, usul Ketua Pembangkang itu bercanggah dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, sepucuk surat bertarikh yang sama, Azhar turut menolak usul yang dibawa Datuk Seri Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) untuk membatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 2 2021 serta menukarkannya menjadi Rang Undang-undang.

Azhar berkata, usul Ngeh tidak menyatakan peruntukan spesifik di bawah peraturan mesyuarat mana yang perlu diikuti, serta tidak teratur mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Antara isu yang dijangka hangat di Parlimen ialah mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat sejak Januari tahun ini.

“Setelah mempertimbangkan nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan Proklamasi Darurat bagi membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150..

"..bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini,” kata Perdana Menteri pada 12 Januari 2021.

Namun persoalan sedikit sebanyak timbul selepas jumlah kumulatif kes positif bakal melepasi jumlah 1 juta kes hari ini berdasarkan kes harian positif tercatat melebihi 10,000 sejak 14 Julai lepas, dengan rekod tertinggi harian ialah sebanyak 15,573 kes pada 23 Julai.

Blok Pembangkang dijangka membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan, darurat serta pembukaan sektor ekonomi yang dikatakan antara punca peningkatan secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Di samping itu, sudah pasti isu kewangan negara juga akan dibangkitkan susulan pelaksanaan pakej stimulus ekonomi seperti PERMAI, PRIHATIN, PENJANA, PEMERKASA dan PEMERKASA+, serta PEMULIH yang dilaporkan melibatkan suntikan fiskal RM83 bilion.

Menyentuh mengenai kadar vaksinasi negara di bawah kelolaan PICK, ia mencatatkan jumlah yang membanggakan memandangkan Malaysia antara tiga negara tertinggi dengan purata mencecah antara 450,000 ke 500,000 suntikan sehari.

Namun, fokus juga sudah pasti tertumpu ke arah perolehan vaksin-vaksin, pengurusan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), serta agihan dos vaksin kepada negeri-negeri mengikut keutamaan.

Apa pun, Astro AWANI sebagai sumber berita paling dipercayai di negara ini (Institut Kajian Berita Digital Reuters 2020) akan memberikan laporan paling komprehensif mengenai perjalanan Mesyuarat Khas tersebut.

Ikuti laporan terperinci Astro AWANI mengenai Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula Isnin ini di saluran 501 Astro, platform rasmi Astro AWANI di Facebook, Twitter dan Facebook, serta laman astroawani.com.