KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan beliau telah bertemu dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Rabu.

Menurutnya, pertemuan itu adalah bagi memberi penjelasan terperinci mengenai ketelusan perolehan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata demikian sehari selepas kenyataan hampir sama dikeluarkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu.

“Insya-Allah, kerajaan menyasarkan imunisasi 100 peratus populasi dewasa menjelang akhir Oktober nanti. Inilah sasaran terpenting dalam memastikan kejayaan pelan pemulihan negara.

“Dari segi perbelanjaan, kerajaan telah memperuntukkan RM3.9 bilion bagi perolehan bekalan vaksin yang telah ditandatangani kontrak sebanyak 79.9 juta dos. Kita juga amat menghargai sumbangan sebanyak 2.9 juta dos vaksin daripada negara Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom.

“Berkenaan perolehan vaksin pula, baru semalam saya telah bertemu ahli-ahli PAC untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai ketelusan proses perolehan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan dalam Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] Hari keempat sidang Mesyuarat Khas Parlimen

Astro AWANI pada Rabu melaporkan semua dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan dalam PICK telah dibentangkan kepada PAC baru-baru ini.

Bahkan, Khairy berkata, beliau juga telah memberikan keterangan jawatankuasa itu pada 5 Januari lepas.

Tambahnya, beliau dan juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba juga sekali lagi memberi keterangan kepada PAC pada Selasa.

BACA: Khairy beri jaminan perbelanjaan, perjanjian PICK akan dibentang kepada PAC