Mesyuarat Khas Parlimen: Walau diasak pembangkang, Takiyuddin tetap jelaskan isu darurat minggu depan

Ridauddin Daud
Julai 27, 2021 03:51 MYT
Takiyuddin meminta ruang untuk menjelaskan semua kekeliruan berhubung ordinan darurat yang dibatalkan, pada Isnin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 di Dewan Rakyat semalam digemparkan dengan kenyataan pihak kerajaan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.
Susulan itu, sidang hari ini turut membahaskan perkara itu, menyaksikan beberapa Ahli Parlimen bangun mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberikan penjelasan.
Begitupun, Takiyuddin meminta ruang untuknya menjelaskan semua kekeliruan itu pada Isnin depan seperti yang diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.
“Kita di dalam Dewan ini ada peraturan. Speaker, perdana menteri, ketua pembangkang, semua orang tertakluk kepada peraturan.
“Antara yang ada dalam peraturan ini adalah petua daripada Yang Dipertua. Saya tertakluk kepada petua Yang Dipertua semalam yang meminta saya beri penjelasan pada Isnin.
“Itu petua sekarang ini. Bukan saya lari. Hari isnin, takkan lari,” katanya ketika berbahas pada sidang mesyuarat khas tersebut.
BACA: Kerajaan putuskan tidak nasihat Agong untuk isytihar darurat baharu
Begitupun, jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembangkang yang sebelum itu mempertikaikan pembatalan ordinan tersebut.
Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) paling awal bangun dan mendesak Takiyuddin memberi penjelasan adakah pembatalan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Perlembagaan.
“Sekiranya dibatalkan, kenapa kita tak dimaklumkan? Kenapa tidak diletakkan di meja setiap Ahli Parlimen supaya kita dapat tahu secara spesifik bila ia dibatalkan?
"Dan, siapa buat keputusan? Adakah ikut peraturan? Dan apa kesannya, khususnya terhadap rakyat umum di luar sana?” soalnya.
RSN Rayer (DAP-Jelutong) juga mempersoalkan pembatalan tersebut dan mendakwa penasihat undang-undang di Pulau Pinang masih tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.
“Saya ingin tanya, kalau digazet, diperkenan Tuanku, dimaklumkan kepada ketua penasihat undang-undang di seluruh Malaysia, persoalan bermain di minda.
“Kalau saya ada kes libatkan kompaun RM10,000, saya kena hadir di mahkamah esok, perlukah saya mengaku salah atas kesalahan itu?
“Apa akan berlaku kepada kes-kes tersebut? Kalau benar perkara ini, tolong tunjukkan bukti. Kalau tidak, Yang Berhormat Kota Bharu (Takiyuddin) bersalah kerana kelirukan Dewan ini,” katanya.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendesak Takiyuddin memberi penjelasan dan menggesa beliau tidak berhelah dengan hanya memberi penjelasan pada Isnin akan datang.
“Dia cakap apa pun orang tak boleh percaya dah. Perkara spesifik begini pun tidak boleh jawab.
“Kalau Tuanku Agong benar-benar perkenan, saya percaya semalam lagi dia jawab, ini dia surat. Tetapi tak ada, jawablah tak ada,” tegasnya.
#Parlimen #Mesyuarat Khas #Anwar Ibrahim #Gobind Singh Deo #Kota Bharu #Takiyuddin Hassan #menteri #pembangkang #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong #Puchong #Ordinan Darurat #darurat