Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dipercayai telah berlangsung di Istana Negara pagi ini bagi membincangkan tarikh pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Astro AWANI dimaklumkan hanya enam dari sembilan Sultan yang hadir di mesyuarat khas berkenaan.

Enam kenderaan dengan lambang kebesaran DiRaja dari Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah dilihat memasuki perkarangan Istana Negara seawal 10 pagi tadi.

Difahamkan mesyuarat berkenaan berlangsung lebih sejam sebelum kenderaan rasmi Sultan dan Raja-Raja dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira 12.25 tengah hari.

Mesyuarat itu berikutan pengumuman mengejut Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV semalam.

BACA: Sultan Muhammad V letak jawatan

Media turut difahamkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

BACA: Lapan fakta mengenai pengundian Yang di-Pertuan Agong

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Dis 2016.

Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243 (Khas) pada Oktober 2016, yang turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis 2016.