Mesyuarat pertama Pasukan Khas Siasatan 1MDB diadakan esok

Rahimah Abdullah
Mei 21, 2018 08:21 MYT
ABU KASSIM: Kami akan bersidang esok bagi membincangkan prosedur siasatan. - Foto BERNAMA
Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang dibentuk hari ini dijangka memulakan mesyuarat pertama esok, kata bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
"Kami akan bersidang esok bagi membincangkan prosedur siasatan," katanya semasa ditemui media di Menara Ilham di sini hari ini.
Difahamkan beliau sebelum itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa individu terlibat dengan siasatan 1MDB di lokasi berkenaan.
Turut kelihatan, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Pasukan Khas ini akan diketuai bersama oleh Abdul Gani, Abu Kassim, Mohd Shukri dan juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Hamid Bador.
BACA: Gani Patail, Abu Kassim dalam Pasukan Khas Siasatan 1MDB
Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.
#1MDB #Abu Kassim Mohamed #Gani Patail #Hamid Bador #pasukan khas #pasukan khas 1MDB #siasatan #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia