SUBANG JAYA: Kerajaan terus mengambil langkah awal dan bersasar bagi menghadapi keadaan cuaca kering, kekurangan hujan serta risiko kemerosotan kualiti udara melalui pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perlis dan Kedah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan OPA memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan sasaran dan kawasan tadahan, khususnya bagi membantu meningkatkan serta mengekalkan paras air empangan.
Usaha itu penting bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pengairan pertanian terus terjamin ketika berlaku keadaan cuaca kering.
Turut menyertai operasi secara langsung pelaksanaan OPA pada hari ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin untuk melihat sendiri proses operasi, memahami keperluan teknikal serta cabaran yang dihadapi oleh pasukan di lapangan.
Bernama difahamkan bagi operasi hari ini, kawasan sasaran di Perlis ialah Empangan Timah Tasoh, manakala di Kedah membabitkan Empangan Ahning, Pedu, Muda dan Beris.
Tinjauan Bernama mendapati pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang digunakan bagi operasi berkenaan, dengan empat tangki mengandungi larutan garam yang disediakan untuk proses pembenihan awan.
Larutan berkenaan dibancuh seawal 8 pagi dengan setiap tangki mengandungi campuran kira-kira 200 kilogram garam natrium klorida (NaCl) dan 1,500 liter air, sebelum dimuatkan ke dalam pesawat yang berlepas pada 12.30 tengah hari itu.
Operasi dikendalikan kru TUDM diketuai Mission Commander Mej Mohammad Syaaban Zainal Abidin bersama juruterbang Mej Mohamad Saifullah Mohamad, manakala Kapten Mohd Fuad Mohd Nazir dan Lt Muhammad Awais Fahmi Abdul Razak bertugas sebagai juruterbang bersama.
Lt Muhammad Zulhafizie Mat Zam bertugas sebagai navigator, Mej Muhammad Khairi Khamis sebagai jurutera penerbangan, manakala tiga anggota bertugas sebagai loadmaster (yang mengendalikan pembenihan awan di bahagian belakang pesawat), iaitu PW U II Zamzuri Mat Jusoh, Sjn U Muhd Nur Ezzat Ismail dan Sjn U Muhammad Syazwan Mohd Yusoff.
Pesawat memulakan operasi pembenihan di kawasan Empangan Timah Tasoh, Perlis terlebih dahulu, kemudian bergerak ke Empangan Ahning, Kedah namun pembenihan awan tidak dilaksanakan di kawasan berkenaan berikutan ketiadaan awan yang sesuai untuk proses itu.
Pesawat kemudiannya meneruskan operasi di kawasan empangan lain di Kedah dan melaksanakan semburan larutan garam apabila terdapat pembentukan awan yang memenuhi kriteria ditetapkan dan operasi selesai sepenuhnya pada 3.30 petang.
Menurut METMalaysia, keberkesanan OPA bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai serta keadaan atmosfera yang memenuhi kriteria teknikal, justeru setiap penerbangan dibuat berdasarkan penilaian saintifik dan analisis meteorologi bagi mengoptimumkan peluang keberkesanan operasi.
Pemerhatian Bernama turut mendapati operasi dijalankan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki (1,524 hingga 2,743 meter), bergantung kepada pembentukan awan, dengan pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Subang sebelum menuju ke kawasan sasaran di utara Semenanjung.
METMalaysia memaklumkan sepanjang 2026, OPA telah dilaksanakan di Perlis, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera, dengan kira-kira 90 peratus operasi yang dilaksanakan berjaya menghasilkan hujan sama ada di kawasan sasaran atau kawasan tadahan.
Pelaksanaan OPA merupakan hasil kerjasama strategik antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), METMalaysia dan TUDM, dengan NADMA menyelaras operasi serta menyediakan peruntukan, TUDM menyediakan pesawat dan sokongan penerbangan, manakala METMalaysia menyediakan kepakaran serta khidmat teknikal termasuk penilaian keadaan atmosfera dan kesesuaian awan.
METMalaysia memaklumkan kerajaan akan terus mempertimbangkan pelaksanaan OPA berdasarkan keperluan dan kesesuaian keadaan atmosfera, termasuk sebagai salah satu langkah mitigasi bagi menghadapi fenomena El Nino, selain sokongan menghadapi episod jerebu tertakluk kepada kewujudan awan yang sesuai dan keadaan atmosfera.
-- BERNAMA